Friday, September 5, 2014

Musafir-Malaysia

Alhamdulillah.. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Menghitung hari. Hari ini Jumaat, esok Sabtu, tulat Ahad..

8/9/2014 kami akan bertolak pulang ke Malaysia. Hati ini tidak tahu sama ada gembira atau sedih atau bagaimana.

Bumi Mu'tah ini bakal dirindui. Mengajar erti hidup susah senang dalam melayari bahtera rumahtangga. Pahit manis ditelan bersama.

Alhamdulillah!

Ya Allah, selamatkan permusafiran kami ke Malaysia. Berkatilah kami!



Friday, August 15, 2014

Ulangtahun Perkahwinan KaR & h2o

"Ustazah plan nikah bila?"

Gulp. Ustaz ni biar betul. Serius ke main-main?

"Ana plan nikah waktu umur ana 25 tahun"

'memang targetku sejak di Darul Quran lagi, tamatkan zaman bujang umurku 25, usai habis degree.

"Kalau macam tu, tahun ni la kiranya?" pertanyaan Ustaz KA seolah-olah terkejut.

"Ya, tahun ni ana 25 tahun"

Lebih kurang begitulah permulaan kami berbincang dan merancang untuk membina rumahtangga Muslim. Setelah kami diberi kepercayaan untuk berhubung terus oleh Ustaz Izzat Naqib dan Andak Aeshah selaku 'orang tengah'.

Alhamdulillah. Tidak lama selepas itu, kami bertunang adat pada 6 Julai 2013. Kemudian dinikahkan oleh ayahanda tercinta pada 16 Ogos 2013 di Masjid Ar-Rahim Merlimau.

Kini, 16 Ogos 2014, genap setahun ikatan pernikahan kami. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Terima kasih ya Allah atas kurniaan ini. Allahuakbar!




Monday, August 11, 2014

Cerpen: Muliakan Dia

"Ya Sadiq, aku nak hadiah..!" ucap 'Abudah berulang-ulang sambil menghulurkan tangan kecilnya.

"Kau kan baru kahwin, aku nak hadiah dari kau.." jerit 'Abudah lagi. Dia seolah-olah tidak mahu berputus asa. Mahu permintaannya tertunai.

"Aku tak ada hadiah nak bagi kat kau. Lagipun kau yang sepatutnya bagi hadiah pada aku," balas si Suami. Dia cuba bergurau dengan budak kecil itu. Umurnya dalam anggaran 5-6 tahun. Gigi hadapannya rongak. Mungkin kesan banyak makan gula-gula.

Aku cuba perhati dari dalam rumah. Sambil cuba menangkap butir percakapan budak Arab tu.

'Ah, aku masih baru di sini. Kalau tak faham, boleh tanya dengan si Suami.'

"Awak, dekat dapur ada gula-gula tak? Nak bagi pada budak Arab tu. Tak sampai hati pulak bila tengok dia minta-minta macam tu. Budak-budak kan?" pertanyaan si Suami mematikan senyumanku.

"Kenapa senyum sorang-sorang? Awak buat apa tadi?" soal si Suami sambil memandangku pelik.

"Huhu, ada la.. okay sekejap saya tengok dulu kat dapur," kubingkas bangun bergegas ke dapur sambil ketawa kecil.

'Ingatkan tak perasan kita tengah buat apa tadi. Malunya!'

Alhamdulillah. Ada coklat Bon-Bon. Kuambil beberapa biji coklat yang berbalut plastik kuning itu. Coklat yang boleh tahan mahal harganya di sini.

"Nah, tak banyak, tapi yang lebih cukup untuk kita" kuhulurkan coklat tersebut kepada si Suami.

"Okay, beres..!

"'Abudah.. nah hadiah untuk kau..!"

"Terima kasih ya sadiq..!" ucapnya sambil ketawa. Suka barangkali kerana mendapat 'hadiah' dari si Suami.

........................................

"Kita ni kena buat baik, tak kira sama ada kecil atau besar. Rasulullah selalu muliakan kanak-kanak. Kita ni hidup kena sentiasa jadikan Rasulullah sebagai tauladan. Allahuakbar! Mulianya Rasulullah." ujar si Suami. Membuatkanku turut termuhasabah.

Buat baik dan muliakan kanak-kanak. Bukan mudah. Adakala perasaan untuk meremeh dan memperkecilkan golongan ini sentiasa ada. Teringat adik-adik di tanah air. Memang adakala bergurau dengan mereka mengalahkan orang dewasa. Insaf!


Umair yang lincah




Saturday, August 9, 2014

Selamat Tinggal Mu'tah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Tidak sampai sebulan lagi kami akan meninggalkan Dataran Mu'tah. Sudah terasa sayu di hati ini. Walau bumi ini bukan tempat lahirku, tapi ia umpama taman didikan di kala usia di pertengahan 20-an. Allahuakbar!


Di sinilah Mu'tah

Tempat kami berdua

 Bersusah dan bersenang

Mengharungi syita' dan soifi

Merasa ditarbiyyah oleh Allah

Terus


Ujian itu ada pahit, ada manis

Sukar untuk dikisahkan

Apatah lagi untuk dihebahkan


Syukur

Ia mematangkan mahligai yang diimpikan 

Agar kami lebih mengenali hati budi

Merasa tujuan utama rumah ini dibina. 

Lillahi Ta'alaa.

Subhanallahh. Alhamdulillah. Allahuakbar.




Andai redha Allah yang dicari

Pastilah hidayah dan taufiq menyinari

Selamat Tinggal Mu'tah!


h2o-kAr
Bayt Muhammad Kheir
2330 PM



Monday, July 21, 2014

Catatan Ringkas Ramadhan 1435H

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Setelah demam panas 2,3 hari lepas, Alhamdulillah, Allah kembalikan semula nikmat sihat. Cuaca yang tak menentu ini menjadikan kami diserang demam. Mujur kami tidak sakit serentak. Alhamdulillah. Allah sayang kami. :')

Teruji sungguh Ramadhan ini. Ramadhan 1435H, untuk pertama kalinya kami puasa bersama. Puasa suami isteri di perantauan. Malam puasa pertama, mata ini tidak dapat tahan lagi dari menitiskan air mata. Penangan rindu pada Mak, Ayah, dan adik beradik.. juga suasana puasa di tanah air. Alhamdulillah, tangisan rindu diubati apabila sang suami memujuk.

Ramadhan 1435H di Mu'tah pasti jadi kenangan terindah untuk dipahat di dalam memori ini. Tidak terluah segalanya di blog usang ini!

Tarawih kami pada minggu pertama dan kedua adalah di Masjid Bin Baaz. Walaupun jauh dan memakan masa 10-15 minit dengan berjalan kaki, kami tetap gigih dan bersemangat untuk ke sana memandangkan imam masjid berkenaan turut menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat tarawih 4 rakaat. Kemudian imam menyambung semula solat tarawih hingga 8 rakaat kemudian solat witir.

Pada waktu inilah wanita-wanita Jordan yang terdiri daripada kalangan wanita yang berumur, remaja, dan kanak-kanak berkumpul. Melalui perhatianku, bilangan jemaah wanita di sini kebanyakannya 'makcik' dan 'nenek' berbanding remaja dan belia. Hm.. ada persamaan sedikit dengan Malaysia..

Suatu sikap yang boleh dipuji terhadap masyarakat Arab di sini ialah budaya tegur menegur mereka sangat tinggi dan terbuka. Jika masih baru dengan situasi ini pasti terkejut dan terkedu. Contoh mudahnya, bila saf tidak rapat, terdapat banyak kekosongan, tidak kira yang muda atau yang tua, [biasanya yang tua] akan segera bersuara [dengan suara yang tinggi dan kuat ; tengking] supaya merapatkan dan memenuhkan ruang kosong yang ada. Itu belum lagi jika ada kanak-kanak yang menangis! Pasti ditegurnya juga supaya sang ibu segera memujuk anaknya. Sungguh berbeza dengan tanah air kita. Orang kita suka cakap-cakap belakang hatta nak tegur perkara baik pun kadang-kadang fikir berkali-kali..~

Ketika entri ini diperbaharui, Ramadhan sudah masuk hari yang ke 23. Serasa sungguh cepat masa berlalu. Sedar tak sedar Ramadhan bakal meninggalkan kita. Bulan didikan agar kita kuat untuk menempuh 11 bulan yang mendatang.

Walaupun Syawal bakal menjelang, suasana untuk bergembira merayakan kemenangan dan kegembiraan tidak terasa dan hambar. Ya, mungkin terlalu awal untuk merasai manisnya raya! Ditambah pula dengan peperangan yang terjadi antara tentera 'Izzuddin al-Qassam dengan Zionis laknatullah, menjadikan mood jihad melebihi segalanya. Allahuakbar!

Lebih kurang seminggu Ramadhan berbaki, kami berpindah ke Masjid Shuhada' yang terletak di tengah-tengah pekan Mu'tah. Merasai dan menikmati solat tarawih di situ, perjalanan yang cuma 5 minit dan dipimpin oleh imam yang tartil dan tenang bacaan ayat al-Qurannya walau tiada tazkirah. 'ala kulli haal, Alhamdulillah, masih diberi pinjam nyawa untuk bernafas di atas muka bumi ini.

Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku (Allah) 
[Az-Zaariyaat :56]





Sunday, July 13, 2014

Diri dan Malas

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

16 Ramadhan 1435H / 13 Julai 2014

Alhamdulillah. Akhirnya, tertunai juga hajat untuk mencoretkan beberapa patah perkataan untuk entri kali ini.

Musim panas menjadikan badan sedikit lesu dan letih untuk memerah idea. Alasan!

Kalau nak beralasan, banyak lagi perkara yang boleh dijadikan alasan. Melainkan sifat MALAS itu dapat diatasi dan diurus dengan baik, akhirnya hilanglah segala alasan tersebut.


Malas,
Andai dikau mampuku urus dengan baik 
Sudah semestinya segala kerja dan urusanku tidak tergendala.

Diri,
Andai daku mampu menguruskanmu dengan baik
Sudah semestinya sifat malas tidak ada dalam diriku

Diri dan Malas,
Janganlah dikau bersahabat baik
Agar daku mampu menjadi manusia yang baik dan membaikkan.

12.07a.m.
Bayt Muhammad Kheir


Tuesday, June 10, 2014

Rindu Haramain!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Akhirnya air mata menitis juga. Sore itu, sudah tidak tertahan lagi hati ini menahan rindu akan bumi Makkah. Mata ini seolah-olah terpamer segala suasana ketika daku menunaikan ibadah umrah. Kaabah, tawaf, hijir Isma'il, safa, marwah. Ah, banyak lagi kalau mahu disebut satu persatu! Walaupun tidak cukup sekadar mengenangkan sejarah itu daku tetap menjadikannya memoir terindah dalam hidup.

Ya Allah! Hati meronta-ronta mahu ke sana lagi. Mahu menikmati sejuknya zam-zam di kala teriknya panas. Mahu tawaf sunat berkali-kali di kala umat manusia berpusu-pusu merebut suatu kepuasan apabila berada di hadapan kaabah. Adakah akan berulang lagi episod itu dalam diari hidupku?

Allah musta'aan..! :'(



Sunday, May 11, 2014

Ilhamkan Daku

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kebanyakan entry dalam blog ini santai dan ringan. Tulisan yang tidak memberatkan pembaca untuk menikmati 'karya' ini [siapa je yang baca?]

Apa pun, blog ini adalah blog peribadi dan tempat untuk mengasah bakat saya dalam bidang penulisan. Tapi sampai bila?

Ya Allah, ilhamkan daku untuk berkarya perkara yang bermanfaat untuk ummah!


Kalam Murabbi Ustaz Zulkifli Ismail

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Segala puji bagi Allah. Kehadiran Ketua Dewan Ulama' PAS Melaka, juga Mudir Pondok Baitul Qurra' Sungai Udang, al-Fadhil Ustaz Zulkifli bin Ismail, ke Dataran Syam, Mu'tah dianggap sebagai rezeki buat kami.

Mutiara kata yang sungguh meruntun hati sang pendengar. Kalam murabbi. Masya Allah! :')

Khamis, 8 Mei 2014. Pertemuan pertama (buat saya) dengan ustaz  adalah bersama anak-anak Melaka di rumah Syazwani-Ikhwan. Sore itu, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Mu'tah ditimpa hujan selama 2,3 hari berturut-turut. Saya dan Sarah Yasmin bergegas kerana risau sampai lewat. Alhamdulillah, kami tiba awal.

Tidak ramai yang boleh hadir pada petang itu. Kata ustaz,

"Ustaz memang suka tengok orang Melaka ni, sebab kalau pergi mana-mana mesti orang Melaka tak ramai"

Kata-kata ustaz membuatkan kami semua berderai ketawa. Sebab kami turut mengalami dan memahami maksud ustaz. :)

Pertemuan yang bersifat santai, tetapi penuh dengan kata-kata nasihat yang ikhlas serta amanat oleh seorang ulama' membuatkan nurani terasa penuh dan kenyang. Alhamdulillah!

Antara pesanan ustaz yang terpahat di dalam minda ialah,

'kamu semua perlu belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Melaka dengan menyampaikan ilmu. Masyarakat Melaka kini masih kekurangan asatizah untuk membimbing mereka. Kita terpaksa 'import' asatizah luar untuk mengajar ilmu agama di Melaka.'

Pesanan yang seperti 'mengharap' agar tullab di sini lah yang akan mengisi ruang kekosongan itu. Berat tanggungjawab yang digalas. Allahuakbar!

Ya, walaupun saya bukan bergelar tullab di Jordan, tapi saya tetap merasakan ini juga adalah peringatan buat saya sebagai anak jati Melaka. Menyampaikan ilmu bererti menyebarluaskan dakwah Islamiyyah untuk warga Melaka. Moga Allah izinkan saya untuk berkhidmat di sana.

Solat Maghrib dan solat Hajat berjemaah mengakhiri pertemuan kami bersama ustaz. Bacaan doa penuh mengharap kepada Allah sepenuhnya. Segala-galanya dari Allah dan kepada Allah.

Alhamdulillah!



Tuesday, May 6, 2014

Ramadhan Bakal Kunjung Tiba

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Musim panas masih di permulaan. Bahang kepanasan terasa hingga ke malam hari. Allahuakbar! Kuasa Allah yang menjadikan panas. Ini baru di dunia. Di akhirat nanti bagaimana?

Berada di negara 4 musim ini menjadikan saya cakna dengan suhu. Hari ini suhu mencapai 26 darjah selsius. Langit kelihatan mendung bagai hujan mahu turun. Menanti hujan. Ya Allah rezekikan hujan di dataran syuhada' ini!

Ramadhan sudah semakin hampir. Kami bakal berpuasa dalam musim panas yang terik dan dalam tempoh yang lama. Lebih 12 jam. Waktu siang yang panjang dan malam yang singkat. Qawiyy!

Ya. Perlu bersedia mental dan fizikal untuk menjalani tarbiyyah Ramadhan. Kalau diizinkan-Nya, kami dapat merasa puasa Ramadhan bersama untuk kali pertama, jauh dari tanah air dan keluarga tercinta. Allahumma amin!

Ramadhan - Maher Zain

You lift me up high
You spread my wings
And fly me to the sky
I feel so alive
It's like my soul thrives in your light
But how I wish you'd be
Here with me all year arou

Ramadan Ramadan,
Ramadan ya habib
(Ramadan, Ramadan,
Ramadan O beloved)
Ramadan Ramadan
Laytaka dawman qareeb
(Ramadan, Ramadan,
How I wish you were always near)

Love is everywhere
So much peace fills up the air
Ramadan month of the Quran
I feel it inside of me, strengthening my Iman
But how I wish you'd be
Here with me all year around

I just love the way you make me feel
Every time you come around you breathe life into my soul
And I promise that
I'll try throughout the year
To keep your spirit alive
In my heart it never dies

Oh Ramadan!




http://jo.arabiaweather.com/


Tuesday, April 29, 2014

Ucapkanlah Alhamdulillah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Hidup ini dikelilingi dengan pelbagai 'kisah' sebelum sampai kepada yang hakiki [akhirat]. Kitalah [diri sendiri] yang mencari, berfikir dan menilai agar terbentuk sebuah hikmah yang bernilai tinggi iaitu sampai kepada tahap SYUKUR dan tahu berterima kasih. 

Wahai Allah yang Maha Memberi, jadikan kami sentiasa mahu ada rasa syukur dengan-Mu ya Allah!

Alhamdulillah. 

Bayt Muhammad Khir,
Mu'tah Jordan
23:24


Allah Pemberi Sakit, Allah Jua Pemberi Sembuh

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

26 April 2014

Pengalaman mendapatkan rawatan di markaz sihhi (klinik kesihatan kerajaan) Mu'tah suatu momen yang berharga. Bangunan sederhana besar satu tingkat itu tenang. Pesakit tidak ramai. Mungkin kerana kami tiba di sana pada waktu tengahari. 

Hati sedikit berdebar dan gementar bercampur dengan sakit perut. Keputusan untuk ke markaz sihhi dibuat setelah kami menghubungi emak di Melaka, meminta pendapat. Sungguh tidak tertahan sakit perut (cramp). Tidak mampu berdiri tegak, jalan secara berbongkok dan perlahan. Bertambah sakit apabila batuk dan selesema tiba-tiba menyerang. Allahuakbar! 

Antara penyebab kami risau dan takut untuk mendapatkan rawatan di sini ialah, doktor-doktor Arab! Bahasa juga menjadi sebab terpencil. Saya tidak mahir dan fasih berbahasa Arab. Cuma masih boleh memahami apa yang diperkatakan. Suami meyakinkan saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris sahaja dan dia yang akan berbahasa Arab. 

Kehadiran kami di situ kelihatan asing kerana hanya kami sahaja Malizi (orang Malaysia) kerana kebiasaannya rakan-rakan kami  hanya ke markaz sihhi jami'ah. Terasa sungguh 'segan' kerana diperhatikan, ditambah pula ada seorang budak perempuan yang comel, umurnya dalam lingkungan 2 tahun. tidak kelip-kelip mata memandang saya walaupun dia sedang berjalan. Saya pula tidak kelip-kelip mata membalas pandangannya kerana rasa kagum dengan kecomelan yang dimilikinya. Pada ketika itu, kesakitan terasa berkurang. Terapi dari budak perempuan itu agaknya! :)

Akhirnya giliran kami sampai. Pembantu doktor melambai-lambai tangan ke arah kami memanggil masuk. Suami terpaksa memimpin kerana masih terasa sukar untuk berjalan. Bermula sesi dialog antara saya, suami, doktor wanita dan pembantu doktor. Suami berbicara dalam bahasa Arab, saya dalam bahasa Inggeris. Terasa payah juga kerana loghat Inggeris yang digunakan doktor adakalanya membuatkan saya tidak dapat memahami apa yang ingin di sampaikan. 

Setelah diperiksa oleh doktor, saya diminta untuk pergi ke bilik yang lain untuk menguji tekanan darah dan suhu badan, kemudian bertemu semula dengan doktor tadi. Doktor kemudian menulis senarai ubat yang perlu diambil di farmasi. Saya duduk di kerusi sambil melihat kertas tersebut. Pelik!

Nama yang tertulis pada kertas itu bukan nama saya. Boleh jadi tertukar kertas dengan pesakit lain. Suami yang turut menyedari hal ini segera berjumpa dengan doktor. Rupa-rupanya kertas itu milik saya. Doktor wanita tadi telah menukarkan nama dan maklumat di atas kertas itu agar saya menjadi 'warganegara Jordan' supaya harga ubat-ubatan yang diambil lebih murah. Barulah kami faham. Kalau diikutkan kami perlu membayar lebih kurang 5JD berbanding dengan harga warga tempatan, cuma 75 qursh. Jauh bezanya!

Sewaktu suami mahu membayar ubat-ubatan, berlaku suatu situasi yang tidak dijangkakan. Ada seorang mak cik Arab dan anak perempuannya telah membayarkan untuk kami. Alhamdulillah! Allahuakbar! Rezeki. Suami mengucapkan terima kasih kepada mereka. 

Kemudian, ketika kaki mahu melangkah keluar, saya ternampak suatu petikan ayat al-Quran bersaiz besar memenuhi ruang atas pintu keluar tersebut. Ayat yang membuatkan saya 'tersentap' dan berfikir, dan kemudian terus mengucapkan penyerahan kepada Allah. Dia yang memberi sakit dan Dia jugalah yang memberi sembuh.

[Asyu'ara' : 80]


Wednesday, April 23, 2014

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Waktu Subuh di Mu'tah adalah pada pukul 4.40 pagi. Musim panas menjadikan waktu siang lebih panjang dan lama berbanding pada musim sejuk.

"Tunggu bila musim panas pada kemuncaknya, Subuh seawal 3.15 pagi" ujar seorang sahabat. Gulp!

Bulan Ramadhan [panas] bakal ditempuhi. Allah kuatkanlah!

Ighfir zunubi...


Bersabarlah!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah.

Musim panas bakal tiba. Suhu paling tinggi setakat ini, 27 darjah celcius. Allahuakbar. Perubahan cuaca yang membuatkan kesihatanku mudah terjejas. Tidak biasa.

Ya, bersabar dengan ujian kesihatan. 'Menghayati' hikmah yang Allah kurniakan. Isbir!

Tuesday, March 25, 2014

Solidariti Untuk 529

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

24 Mac 2014. Dunia digemparkan dengan berita hukuman gantung hingga mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin, termasuklah Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Badi'e dan Presiden Freedom and Justice Party (FJP) Saad al-Katatni.

Rejim Fatah al-Sisi diibaratkan firaun. Tindakan dan keputusan mahkamah yang memang berat sebelah sungguh membuatkan ahli keluarga dan seluruh para pencinta kebenaran berduka. Zalim!

Air mata bercucuran tatkala melihat gambar Dr.Muhammad Badie' dan para pejuang berpakaian putih berada di kandang pesalah. Menangis melepaskan rasa hiba dan sebak. Gambar yang memberi seribu erti. Mereka tersenyum.

Allahuakbar! Kehebatan mereka di medan perjuangan menentang kezaliman dibalas dengan hukuman gantung. Apa yang diri ini sudah lakukan untuk membantu saudara-saudara kami di sana?

Air mata yang berguguran tidak sama dengan darah yang mengalir dalam menegakkan agama Allah. Allahuakbar! Rasa berdosa. Ya Allah, ampunkan kami kerana kami hanya mampu berdoa untuk saudara-saudara kami di sana.

Saya segera menelefon suami untuk menenangkan diri. Tangisan saya mengejutkan suami. Puas disoal. Jawapan yang diberikan hanyalah suara tangisan, sehingga akhirnya saya gagahkan diri menceritakan sebab saya menangis sebegitu teruk. Suami berusaha menenangkan dengan meminta saya segera berwudhuk, solat Zuhur dan berdoa untuk para pejuang di Mesir.

Panggilan telefon dimatikan. Esakan masih bersisa. Saya tidak tahu kenapa. Perasaan yang sukar untuk diterjemahkan.

Saat mata masih menangis, akal saya lantas mencari 'sesuatu' untuk menenteramkan jiwa yang sedang berduka. Alhamdulillah, Allah segera memberi 'motivasi' dengan diingatkan diri ini dengan ayat Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 154 :

"dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang berjuang di jalan Allah (mereka) telah mati. Bahkan sebenarnya (mereka) HIDUP, tetapi kamu tidak menyedarinya" [al-Baqarah-154]

Masha Allah! Diri ini aman kembali. Saya bergegas untuk berwudhuk dan solat Zuhur. Usai solat. Hati kembali tenang.

Ya, mereka tidak mati, bahkan mereka HIDUP!







Rujukan: https://www.facebook.com/MesirKini

http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=7&News_ID=44028

Sunday, March 16, 2014

Muhasabah


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 




Sungguh Allah itu dekat dengan hamba-Nya. Jangan sia-siakan sementara masih dikurniakan udara untuk bernafas. Nadi masih laju berdenyut.

Serahkan diri kepada Allah.

ان صلاتى ونسكى ومحيي ومماتي لله رب العلمين

hayat.fm

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Sudah masuk bulan keempat di rantau orang. Jordan. Tanah Arab, tempat kedua saya jejaki selepas Makkah dan Madinah. Tetap ada perbezaan walaupun persamaannya adalah 'Arab'.

Sudah tidak lama juga masa saya di sini. Mu'tah. Yang suatu masa dahulu adalah tempat peperangan. Darah para syuhada' pernah mengalir di bumi ini. Mengambil semangat jihad para pejuang Mu'tah, telah membuatkan saya cuba memberanikan diri untuk membuat suatu perkara yang dahulunya difikirkan sukar dan payah. Iaitu bercakap dalam bahasa Arab.

Walaupun saya telah mempelajari bahasa Arab sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, ditambah dengan enam tahun sekolah menengah, tiga tahun diploma, dan tiga tahun ijazah, ia masih belum buat saya yakin dan berani untuk bercakap dalam bahasa Arab. Tidak seperti bahasa Inggeris. Walaupun tidak begitu mahir, tapi masih mampu 'berani' bercakap.

Alhamdulillah. Suatu hari saya tergerak untuk memasang radio. Banyak 'channel'. Pelbagai. Saya terus mencari siaran yang 'kena' dengan jiwa. Akhirnya saya ketemu dengan "hayat.fm". Suara latar belakang yang lebih mendamaikan. Saya cuba hayati suara DJ dan topik yang dibicarakan. Serupa ikim.fm di Malaysia! Alhamdulillah. Teruja.

"hayat.fm" sedikit sebanyak mampu mengubat kerinduan saya terhadap ikim.fm. Saya mula mempelajari kalimah-kalimah Arab yang diucapkan oleh DJ yang bertugas. 'Hiwar' (perbualan) antara DJ dan tetamu undangan saya cuba ikuti. Faham dan ucapkan semula. Adakala bantuan suami diperlukan.

Tolong translate.

diorg bincang tentang apa?

Antara ayat yang biasa saya utarakan kepada suami. Alhamdulillah. Suami sabar dan memberi kerjasama yang baik. :)

Usaha untuk mempelajari dan mempraktikkan bahasa Arab masih giat dilaksanakan. Semoga Allah mudahkan urusan ini. Allahuakbar!





Saturday, March 15, 2014

Teruskan Membaca

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

sakura di Irbid

Seminggu ini hujan turun lebat. Kata orang di sini penamat musim sejuk. Allahuakbar. Kuasa Allah. Kalau di Malaysia kering dan panas. Apabila suara mahu merungut, pasti segera menggantikannya dengan rasa syukur, asbab memikirkan tanah air sudah lama tidak dilimpahi hujan. Allahuakbar!

Hujan turun beserta dengan tiupan angin yang kuat dan udara sejuk. Hingga suatu ketika frost turun dengan banyaknya. Terkumpul seolah-olah salji! Subhanallah. Bersyukurlah!

Musim bunga bakal menjelma.

...................................

Cuaca sejuk yang masih bersisa ini menjadikan motivasi untuk menghabiskan bacaan buku yang dipinjam. "Diari Musafir Jangan Berhenti 'Berlari'" karya Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman. Tulisan pertama beliau yang saya baca ini memang mampu membuatkan saya termotivasi secara tidak sengaja. Kerana pada mulanya buku tersebut dipinjam hanya untuk menghabiskan masa lapang.

Dari sudut pemerhatian secara rambang, kandungan di dalam buku tersebut sangat ilmiah, bermanfaat dan dipenuhi dengan fakta. Faktor beliau merupakan ahli akademik telah menjadikan buku tersebut sungguh enak dan kenyang bagi mereka yang sukakan bacaan santai tetapi penuh fakta. Dari sudut gaya bahasa yang digunakan tidaklah terlalu bersastera dan tidak banyak 'bunga', akan tetapi ianya tetap menarik perhatian saya untuk menyambung bacaan walaupun di dalam kesejukan. Alhamdulillah. Buku yang setebal 437 muka surat berjaya saya khatamkan selama 2 hari setengah, di samping terpaksa bertarung dengan suhu sejuk.

Apa yang menarik hati saya untuk mencoretkan perihal karya Ustaz adalah kerana kandungannya yang sering menyebut 'SAHAM AKHIRAT', 'KEMATIAN', 'AMALAN', serta perkara-perkara yang berkaitan dengan dakwah dan sumbangan untuk Islam dan ummah. Allahuakbar! Termuhasabah. Jadi kelu seketika apabila dihitung dan dikira amalan ini. Ditahap yang mana?

Ustaz turut menyatakan kepentingan menuntut ilmu, menyampaikan dan mengamalkannya. Beberapa siri pertemuan Ustaz bersama ulama' terulung di dunia menyebabkan saya rasa kagum. Kisah keazaman yang beliau tonjolkan di dalam buku berkenaan menjadikan saya berfikir dan menilai. Adapun kebaikan dan kelebihan yang diceritakan Ustaz masih mampu menjadikan sifat rendah diri masih menebal di dalam penulisan beliau. Kerana ianya  berkaitan dengan 'DAKWAH'  dan 'SAHAM AKHIRAT'.

Cukup. Terlalu panjang dan 'mahal' untuk dihuraikan di dalam entri saya. Jadi saya mengajak rakan-rakan yang masih belum membaca buku Ustaz agar berusaha mendapatkannya dan bacalah sehingga habis. Usaha untuk menilai dan mengambil pengajaran daripada buku "Diari Musafir Jangan 'Berhenti' Berlari".

Selamat membaca! :)




Monday, February 24, 2014

Rindu Itu

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sudah hampir 3 bulan berada di Mu'tah Jordan. Terasa singkat. Berjaya mengharungi cuaca di bawah paras beku. Tanpa sedar. Alhamdulillah.

Adakala jiwa ini sungguh merindui keluarga di Malaysia. Bergurau senda dengan adik-adik. Rindu bertandang lagi. Adakala hingga menitiskan air mata. Saat menceritakan kisah perihal adik-adik. Momen bersama mereka. Air mata sangat mudah mengalir.

Alhamdulillah, mujur ada teman di sisi yang setia menenangkan diri ini dari terus menangis teresak-esak. Adik-adikku, andai kalian tahu yang kakakmu ini sangat merindui diri kalian di sana. Semoga kalian terus dalam rahmat Allah!

Hasif, Addin, Fawwaz, Hannah, Fakhrul, Nasrin, Nabilah, Yasmin, Badrul, Khushairi.

Rindu!


Ingatan Untuk Diri

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Malam ini tiupan angin sangat kuat. Serasa ada ribut pasir. Cuaca di Mu'tah sekitar 11'C. Masih sejuk lagi. Kuasa Allah. Subhanallah!

Fikir dan zikir.

Duduk bersendirian membuatkan diri ini termuhasabah. Kematian bakal menjelma. Ya Allah, matikan kami dalam iman dan Islam. :'(

Inni akhaafullah!


Mustami'

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kuliyyah Syari'ah

Semester baru di Universiti Mu'tah bermula. Sudah masuk minggu ketiga. Masa untuk para tullab rajin melangkahkan kaki ke kelas. Walau cuaca adakalanya sejuk dan terasa nyaman berada di dalam selimut.

Alangkah beruntungnya para tullab ini. Berada di bumi syuhada'. Hampir dengan sahabat Rasulullah s.a.w. Mengambil semangat jihad daripada syuhada' Mu'tah. Alangkah!

Diri ini turut mahu mengambil peluang yang ada. Bukan mudah-mudah dapat datang ke bumi Urdun. Alhamdulillah. Rezeki.

Suamiku sudah mendapatkan keizinan daripada pensyarah agar saya dapat mustami' dalam kelas yang sama dengan beliau. Alhamdulillah setakat ini sudah dua orang doktor (kata ganti bagi pensyarah) yang memberi keizinan untuk saya turut serta dalam kelas pengajian. Kalau diikutkan dari kata sahabat saya di sini, tidak perlu minta izin, hanya masuk bila ada tempat kosong. Tapi memandangakan saya bukanlah pelajar jami'ah, maka suami saya rasa bertanggungjawab untuk meminta keizinan dari doktor. Mahu 'berkat' katanya.

Insha Allah bakal mustami' di Jam'iah Mu'tah. Allahumma yusahhil! :)

Qul Alhamdulillah!

Jazakallah khairan jaza' kepada suami dan sahabat yang memberi semangat untuk saya mustami' :)

.......................

mustami' : duduk mendengar

tullab : pelajar (ramai)

jami'ah : universiti

Qul Alhamdulillah  : ucapkanlah 'segala puji bagi Allah'

Cuba-Cuba

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Berada di tempat orang, jauh beribu batu dari tanah air, sentiasa membuatkan diri ini berani mencuba sesuatu yang baru, terutamanya dalam bidang masakan.

Alhamdulillah. Berdikari. Istilah yang menjadi faktor utama untuk terus kuat berada di Jordan.

Pelbagai jenis masakan telah dicuba. Sebahagiannya menjadi, sebahagiannya kurang menjadi. Cuba dan terus mencuba. Alhamdulillah menjadi akhirnya.

Beberapa jenis kuih-muih tradisional telah menjadi dengan jayanya. Cukup rasa dan bentuk. Sehinggakan ada beberapa orang sahabat suami mencadangkan supaya saya membuat jualan. Dapat juga untung! =D

Telah menjadi kebiasaan kami di sini sahabat-sahabat datang ziarah. Maka, jika ada rezeki mereka, dapatlah merasa masakan special kami. :) 

Yang terbaru, saya telah mencuba untuk membuat kaya pandan. Walaupun pada mulanya tidak menjadi, Alhamdulillah, berkat berani menambah sedikit kauntiti bahan yang diperlukan dan mengubah suai bahan masakan, akhirnya menjadi! Tersenyum lega.

Resepi masakan hanya berada dihujung jari, thanks Mr. Google! :)

Walaupun pada mulanya tak jadi, tak mengapa, cuba lagi! Jangan putus asa..  ^_^


Bidan Terjun

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.


buku nota peribadi


18 Februari 2014

Suatu pagi. Sewaktu sedang menikmati teh panas, tiba-tiba mendapat panggilan telefon daripada Sarah Yasmin. Hairan.

"Assalamualaikum. Akak, maaf ganggu. Akak sihat?"

"Wa'alaikumussalam. Alhamdulillah, sihat.."

"Tengah buat apa tu?"

"Akak tengah minum., sarapan."

"Akak, akak free tak hari ni?"

"Oh.. free sokmo akak.."

"Ok., akak, macam ni, kita nak minta tolong, boleh?"

"Insha Allah, kalau boleh tolong, akak tolong." {suspen la pulak Sarah ni}

"Ok kak, akak tau kan, malam ni ada program HELWANI PERMATA?"

"Hm, akak baru dapat tau semalam, Hazirah telefon bagitau, program 3 malam berturut-turut. Semalam tak dapat datang, rasa rugi pulak sebab talk tentang purdah dan kecantikan-kesihatan."

"Huhu., kak., malam ni ada forum., ahli panelnya semua syabab. Tajuk utama, Wanita, Nilai, dan Kualiti. Tapi tiba-tiba ada sorang syabab ni tarik diri. Jadi lepas bincang nk tukar orang, akhirnya kami putuskan untuk pilih akak ganti syabab tu, dan untuk akak fokus kepada persediaan alam rumahtangga"

Perbualan kami seolah-olah difahami oleh suamiku. Ditambah pula air mukaku yang memang terkejut dengan jemputan itu. Dia hanya tersenyum dan menunjukkan 'thumbs up'. Kubalas senyuman itu. Aduhai!

"Alamak, Sarah, tak ada orang lain lagi ke? Akak dah la baru kat sini. Akhawat pun memang ramai tak kenal akak." Kucuba untuk mengelak undangan tersebut.

"Kami dah bincang kak, tak pe akak., memang tu kriteria kita pilih. Akak kan dah biasa bercakap, bila lagi.. hehe.."

"Allah.. Akak dah lama tinggalkan dunia bercakap ni. Rasa janggal pula"

"Takpe kak, kali ni kita hidupkan semula. Macamni kak, akak bincang dengan Ust. KA dulu, apa-apa keputusan, bagitau ye."

"Ok, insha Allah, nanti akak maklumkan semula ya."

Panggilan telefon dimatikan.

.................................

Perbincangan dengan suami tidak sampai 30 minit. Suami memberi sokongan penuh. Yakin, Insha Allah.

Akhirnya.

"Assalamualaikum Sarah, insha Allah akak boleh ganti syabab tu."

"Alhamdulillah. Terima kasih kak, forum mula jam 7 malam lepas Isya'. Tapi saya nak minta maaf sebab poster tak ada nama akak"

"Khair, insha Allah. La baksa. Itu lagi bagus,"

.................................

Persediaan. Mencari bahan untuk rujukan. Kebetulan broadband masih belum ditambah nilai. Jadi hanya menggunakan buku yang ada, serta terpaksa melihat semula file-file dalam laptop. Kalau-kalau ada yang berkaitan. Kucuba beranikan diri untuk menyelak kitab berbahasa Arab, Tafsir al-Munir karangan Dr. Wahbah az-Zuhaili. Alhamdulillah. Akhirnya selesai. Sedikit sebanyak maklumat dan info kucatat dalam buku nota.

..............................

Malam itu.

"Ok kak, All the best. Nak bagi semangat ni." ucap Sarah, kami bersalam dan berpeluk. Dia menepuk-nepuk bahuku. Memahami kegentaran yang kualami.

"Terima kasih, doakan akak ya. Cuak. Sejuk tangan ni." balasku cuba mengurangkan resah.

"Boleh tu. Tak ada pun. Semua tu adik-adik. Hehe.."

.................................

Kusimpulkan dengan hadis Nabi Muhammad s.aw. ;

Dunia itu adalah suatu yang menyeronokkan (perhiasan), sebaik-baiknya adalah wanita solehah.

Alhamdulillah. Kholas. Lega. Tapi tetap rasa banyak kekurangan sewaktu forum berlangsung. Semoga adik-adik dapat manfaat daripada apa yang disampaikan.

Apa sumbangan saya untuk Islam? Waktu muda dihabiskan untuk apa? Allahuakbar!

..................................

Syabab   : pemuda [kata ganti nama bagi pelajar lelaki di Jordan]

Akhawat : Saudara perempuan [ramai-kata ganti nama bagi pelajar perempuan di Jordan]

Khair      : baik

La baksa : Tak mengapa

Kholas     : Selesai, habis

Saturday, February 15, 2014

Impian

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Impian boleh sama erti dengan keinginan, cita-cita.

Impian adakala boleh termasuk dalam kategori angan-angan.

Impian berubah mengikut kepada mereka yang memasang impian. Niat sebenar impian itu untuk apa.

Impian postif akan memberi impak yang baik.

Impian negatif akan memberi impak yang tidak baik.

Apa sebenarnya yang mahu disampaikan?

Impian yang mahu dijadikan realiti adalah penulisan ini mampu menembusi media cetak yang berada di pasaran.

Impian ini sendiri terasa mengejek dan mencemuh kemampuanku. Tapi, tidak kupedulikan ejekan dan cemuhan itu. Terus maju!

Semoga Allah izinkan daku untuk kusumbangkan sesuatu untuk Islam. Allahuakbar! :'(

Terasa bersalah apabila diri ini tidak memberi sumbangan untuk meniti kemenangan Islam. :'(

Impian tinggi :)









Hadiah Hari Lahir

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.

Alhamdulillah. 15 Februari 2014, genap umur angka 26.

Alhamdulillah. Allah izinkan untuk merasa nikmat udara, air, dan segala-galanya. Tak Terhitung.

Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas nikmat kehidupan ini.  Tanda saat kematian semakin menghampiri.

Alhamdulillah. Terima kasih Mak Ayah. Kerana mendidik diri ini sejak kecil. Tak jemu menasihati dan membimbing diri ini menjadi insan.

Alhamdulillah. Tahun pertama menyambut hari kelahiran sebagai seorang isteri. Sudah semakin terasa amanah yang dipikul ini. Tidak main-main dengan dunia baru ini. Visi dan misi berumahtangga adalah kerana Allah.

Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah, menghadiahkan diri ini seorang suami yang soleh. Hadiah yang tidak terhingga! :')

Alhamdulillah. Ya Allah jadikan kami hamba-Mu yang sentiasa bersyukur dan tidak alpa mengucapkan terima kasih kepada-Mu.

p/s : Terima kasih buat suami atas kejutan kek hari jadi pertama itu. Sangat manis dan sedap!

*tiada gambar untuk entry kali ini. Harap maaf. :)

Friday, January 31, 2014

Ziarah Mu'tah (1)

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Mazaar, sebuah pekan kecil. Jalannya tidak sesibuk Mu'tah. Terletak lebih tinggi berbanding Mu'tah, seolah-olah berada di puncak gunung. Masih terasa angin yang bertiup kuat dan sejuk walaupun berada di penghujung syita' (musim sejuk)

Pekan kecil ini menempatkan tiga makam sahabat iaitu Abdullah bin Rawahah, Jaafar bin Abi Talib, dan Zaid bin Harithah. Peperangan Mu'tah menjadi asbab para sahabat ini bersemadi di sini. Peperangan pertama antara tentera Islam dengan tentera Rom.

Saya berkesempatan menziarahi makam ketiga-tiga para sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Alhamdulillah, suami sudi menjadi pemandu pelancong secara tidak rasmi. Kefasihannya berbahasa Arab 'ammi serta sifat peramah yang ada pada beliau menjadikan ziarah kami lebih bermakna.

Ziarah pertama bermula di makam Abdullah bin Rawahah r.a. Bangunan yang disangkakan masjid rupanya adalah makam. Kawasannya bersih. Pokok-pokok subur menghijau. Sebelum kaki melangkah masuk ke dalam kawasan makam, saya diingatkan oleh suami untuk membaca al-Fatihah dan perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Udara di dalamnya terasa nyaman. Pelbagai perasaan timbul apabila pertama kali mendekati makam sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Allahuakbar!

Makam Abdullah bin Rawahah

Kami meneruskan ziarah. Tempat yang dituju adalah masjid yang terletak bertentangan dengan kawasan makam Abdullah bin Rawahah. Kami berjalan lebih kurang 500m. Dua makam sahabat Rasulullah s.a.w. ada di dalam kawasan masjid berkenaan.

Usai solat Asar, kami menuju ke makam Jaafar bin Abi Talib r.a. Haruman mewangi di kawasan sekitar makam. Kami melambatkan langkahan apabila melihat beberapa orang Arab solat di hadapan makam. Tidak semena-mena seorang lelaki Arab datang dan memarahi mereka. Saya cuma memahami sedikit daripada butir kata lelaki Arab itu.

"Tidak dibenarkan solat di sini! Solatlah di dalam masjid."

Kemudian mereka beredar ke ruang kosong yang berhampiran dengan makam. Kami turut diberi peringatan oleh lelaki Arab itu agar tidak solat di kawasan makam. Marah sungguh!

Makam Jaafar bin Abi Talib

Makam terakhir iaitu makam Zaid bin Harithah terletak di tingkat atas masjid. Kami segera ke sana memandangkan jam menunjukkan pukul 4 petang. Matahari sudah mula mahu terbenam. Berbaki satu jam sebelum azan Maghrib berkumandang. Kawasan makam masih boleh diziarahi. Penjaga makam masih setia menanti pelawat. Haruman di kawasan makam tetap segar dan terasa nyaman. Malah turut memberi rasa semangat dan bertenaga! Allah..kami terasa dekat dengan syuhada' Mu'tah. Semoga semangat untuk meneruskan jihad fi sabilillah berkembang mekar di dalam jiwa kami. Allahumma amin!

Makam Zaid bin Harithah

Pemandangan kawasan masjid dari tingkat atas

Tempat pejalan kaki menuju ke ruang masjid

Alhamdulillah. Diizinkan Allah untuk menziarahi makam para syuhada'. Terasa kerdil diri ini apabila bermuhasabah. Bagaimana dengan pengakhiran kita nanti?

p/s: Insha Allah, siri jelajah Mu'tah akan diteruskan. Mohon doanya! :)

Maklumat lanjut mengenai Peperangan Mu'tah boleh dilayari di :http://www.manhal.pmram.org/2013/03/peperangan-mutah-sejarah-dan-pengajaran.html

Hidup Cuma Seketika

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. 

Penghujung bulan Januari, sangat kerap saya dan suami mendapat perkhabaran tentang kematian. Mereka yang kami kenali kehilangan mak, ayah, saudara mara dan sahabat. Allahuakbar!

Pemergian ulama', Allahyarham Ustaz Harun Taib dan Allahyarham Syeikh Abdul Karim Zaidan menambahkan rasa insaf di hati kami.

Mati itu pasti. Setiap yang hidup akan merasai mati. Kita.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa mahu dekat dengan Allah. Mahu buat amal soleh banyak-banyak.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa gentar. Mohon keampunan kepada Allah tidak putus-putus.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa sesal. Mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah kita kerjakan.

Ighfir Zunuubi..! (Ampunkan dosaku!)

Ayuh, perbanyakkan mohon keampunan kepada Allah! Pintu taubat masih terbuka selagi kita masih bernyawa.

Semoga  beroleh pengakhiran yang baik buat kita semua. Allahumma amin..!




Wednesday, January 22, 2014

Membaca Jambatan Ilmu

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Malam ini saya mampu memperbaharui entri blog ini sebanyak 3 kali. Sambil menanti kepulangan suami dari 'study group' untuk imtihan nihaie pagi esok. Semoga beroleh kejayaan!

Bacalah.

Iqra'. 

Berada di rantau orang telah mengembalikan semula mood saya untuk membaca. Alhamdulillah. Hobi saya yang satu ini sentiasa membuatkan saya rasa tak cukup ilmu. Tak cukup amal. Allahuakbar!

Buku-buku bahasa Melayu kepunyaan suami hampir separuh saya habiskan. Tidak banyak seperti buku-buku Arab (kitab-kitab Arab) yang lebih memenuhkan rak buku. Terasa sangat rugi kerana bahasa Arab saya lemah. Saya perlu kumpul kekuatan untuk membuka setiap helaian kitab Arab. Kamus tebal Arab-Melayu telah tersedia. Cuma perlu BERANI. :) Allahuakbar!

Masa senggang yang ada saya cuba penuhi dengan membaca. Alhamdulillah.

Sekadar menyatakan rasa bosan jika hanya ber'facebook'. Scroll atas bawah. Tekan news feed. Lalai. Walaupun ada faedah. Terasa ianya sedikit cuma.

Kalau mahu pandai menulis, mesti rajin dan banyak membaca. Itu prinsipnya. Suasana dan tempat kita berada hanya sebagai 'penyeri' sahaja.

Ya Allah izinkan daku mampu berdakwah dengan mata pena kerna aku tahu kemampuanku hanya di situ. Tidak fasih berbicara apatah lagi menyampaikan ceramah di khalayak.

Semoga aku dapat memberi manfaat kepada ummah.



Penulis

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Masa.

Saya seolah-olah banyak masa apabila berada di tempat orang. Saya jadi risau dengan masa yang ada ini jika tidak digunakan sebaik-baiknya.

Facebook? Twitter?

Bak kata suami, 'benda-benda ni' tak kan habis. Melalaikan. Muhasabah.

Alhamdulillah. Saya dihadiahkan oleh suami buku nota untuk catatan peribadi. Saya jadikannya sebagai diari. Menulis apa yang ingin ditulis. Azam. Impian.

Teringat tentang cita-cita saya suatu masa dahulu ialah menjadi seorang penulis. Alhamdulillah. ketika di UKM saya telah berkesempatan menyertai dua bengkel penulisan yang telah dikendalikan oleh Ustaz Zaid Akhtar dan Ustaz Hasrizal Jamil. Kedua-duanya antara penulis yang saya kagumi. Walaupun ianya cuma sehari tapi sungguh bermanfaat.

Seorang lagi penulis yang saya kagumi ketika di bangku sekolah menengah ialah Faisal Tehrani. Masih teringat karya-karya beliau yang kritis dan kreatif itu. 'Tunggu Teduh Dulu' antara buku yang ada dalam simpanan saya. Banyak kali bertemu dengan beliau di UKM tapi tidak pernah menyapa meminta tanda tangan tanda sokongan moral untuk saya mencapai impian menjadi penulis.

Kata Ustaz Zaid Akhtar : "Menulis untuk sampaikan dakwah"

Kata Ustaz Hasrizal : "Tulis sahaja apa yang anda fikirkan."

Just do it!

Akhirnya saya telah berjaya mengisi masa lapang yang saya ada di rantau orang dengan MENULIS! Alhamdulillah. :)

Semoga Allah kurniakan ilham untuk saya terus menulis. Terima kasih atas tunjuk ajar oleh dua orang sifu saya secara tidak langsung. Ustaz Zaid Akhtar dan Ustaz Hasrizal. Barakallahulakuma.

Insha Allah, blog adalah pilihan saya untuk mengasah bakat sebagai seorang penulis. :)

Ya Allah, izinkan daku membuat kerja-kerja dakwah untuk Islam. Allahumma amin..!



Syukur

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sudah hampir 2 bulan saya berada di bumi Urdun. Menemani suami sehingga tamat pengajian di Universiti Mu'tah. Insha Allah, bakal tamat pengajian musim panas ini.

Alhamdulillah. Tidak pernah menjangkakan akan berada di luar negeri. Semuanya adalah aturan Allah. Allahuakbar!

Musim sejuk bakal tiba di penghujungnya. Tidak pernah mengimpikan untuk merasa musim sejuk di tempat orang. Semuanya adalah aturan Allah. Allahuakbar!

Tinggal di sutuh yang comel dan kemas. Terasa aman dan tenang. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Segala nikmat kurniaan Allah.