Monday, July 21, 2014

Catatan Ringkas Ramadhan 1435H

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Setelah demam panas 2,3 hari lepas, Alhamdulillah, Allah kembalikan semula nikmat sihat. Cuaca yang tak menentu ini menjadikan kami diserang demam. Mujur kami tidak sakit serentak. Alhamdulillah. Allah sayang kami. :')

Teruji sungguh Ramadhan ini. Ramadhan 1435H, untuk pertama kalinya kami puasa bersama. Puasa suami isteri di perantauan. Malam puasa pertama, mata ini tidak dapat tahan lagi dari menitiskan air mata. Penangan rindu pada Mak, Ayah, dan adik beradik.. juga suasana puasa di tanah air. Alhamdulillah, tangisan rindu diubati apabila sang suami memujuk.

Ramadhan 1435H di Mu'tah pasti jadi kenangan terindah untuk dipahat di dalam memori ini. Tidak terluah segalanya di blog usang ini!

Tarawih kami pada minggu pertama dan kedua adalah di Masjid Bin Baaz. Walaupun jauh dan memakan masa 10-15 minit dengan berjalan kaki, kami tetap gigih dan bersemangat untuk ke sana memandangkan imam masjid berkenaan turut menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat tarawih 4 rakaat. Kemudian imam menyambung semula solat tarawih hingga 8 rakaat kemudian solat witir.

Pada waktu inilah wanita-wanita Jordan yang terdiri daripada kalangan wanita yang berumur, remaja, dan kanak-kanak berkumpul. Melalui perhatianku, bilangan jemaah wanita di sini kebanyakannya 'makcik' dan 'nenek' berbanding remaja dan belia. Hm.. ada persamaan sedikit dengan Malaysia..

Suatu sikap yang boleh dipuji terhadap masyarakat Arab di sini ialah budaya tegur menegur mereka sangat tinggi dan terbuka. Jika masih baru dengan situasi ini pasti terkejut dan terkedu. Contoh mudahnya, bila saf tidak rapat, terdapat banyak kekosongan, tidak kira yang muda atau yang tua, [biasanya yang tua] akan segera bersuara [dengan suara yang tinggi dan kuat ; tengking] supaya merapatkan dan memenuhkan ruang kosong yang ada. Itu belum lagi jika ada kanak-kanak yang menangis! Pasti ditegurnya juga supaya sang ibu segera memujuk anaknya. Sungguh berbeza dengan tanah air kita. Orang kita suka cakap-cakap belakang hatta nak tegur perkara baik pun kadang-kadang fikir berkali-kali..~

Ketika entri ini diperbaharui, Ramadhan sudah masuk hari yang ke 23. Serasa sungguh cepat masa berlalu. Sedar tak sedar Ramadhan bakal meninggalkan kita. Bulan didikan agar kita kuat untuk menempuh 11 bulan yang mendatang.

Walaupun Syawal bakal menjelang, suasana untuk bergembira merayakan kemenangan dan kegembiraan tidak terasa dan hambar. Ya, mungkin terlalu awal untuk merasai manisnya raya! Ditambah pula dengan peperangan yang terjadi antara tentera 'Izzuddin al-Qassam dengan Zionis laknatullah, menjadikan mood jihad melebihi segalanya. Allahuakbar!

Lebih kurang seminggu Ramadhan berbaki, kami berpindah ke Masjid Shuhada' yang terletak di tengah-tengah pekan Mu'tah. Merasai dan menikmati solat tarawih di situ, perjalanan yang cuma 5 minit dan dipimpin oleh imam yang tartil dan tenang bacaan ayat al-Qurannya walau tiada tazkirah. 'ala kulli haal, Alhamdulillah, masih diberi pinjam nyawa untuk bernafas di atas muka bumi ini.

Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku (Allah) 
[Az-Zaariyaat :56]





Sunday, July 13, 2014

Diri dan Malas

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

16 Ramadhan 1435H / 13 Julai 2014

Alhamdulillah. Akhirnya, tertunai juga hajat untuk mencoretkan beberapa patah perkataan untuk entri kali ini.

Musim panas menjadikan badan sedikit lesu dan letih untuk memerah idea. Alasan!

Kalau nak beralasan, banyak lagi perkara yang boleh dijadikan alasan. Melainkan sifat MALAS itu dapat diatasi dan diurus dengan baik, akhirnya hilanglah segala alasan tersebut.


Malas,
Andai dikau mampuku urus dengan baik 
Sudah semestinya segala kerja dan urusanku tidak tergendala.

Diri,
Andai daku mampu menguruskanmu dengan baik
Sudah semestinya sifat malas tidak ada dalam diriku

Diri dan Malas,
Janganlah dikau bersahabat baik
Agar daku mampu menjadi manusia yang baik dan membaikkan.

12.07a.m.
Bayt Muhammad Kheir