Tuesday, March 25, 2014

Solidariti Untuk 529

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

24 Mac 2014. Dunia digemparkan dengan berita hukuman gantung hingga mati ke atas 529 penyokong Ikhwanul Muslimin, termasuklah Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Badi'e dan Presiden Freedom and Justice Party (FJP) Saad al-Katatni.

Rejim Fatah al-Sisi diibaratkan firaun. Tindakan dan keputusan mahkamah yang memang berat sebelah sungguh membuatkan ahli keluarga dan seluruh para pencinta kebenaran berduka. Zalim!

Air mata bercucuran tatkala melihat gambar Dr.Muhammad Badie' dan para pejuang berpakaian putih berada di kandang pesalah. Menangis melepaskan rasa hiba dan sebak. Gambar yang memberi seribu erti. Mereka tersenyum.

Allahuakbar! Kehebatan mereka di medan perjuangan menentang kezaliman dibalas dengan hukuman gantung. Apa yang diri ini sudah lakukan untuk membantu saudara-saudara kami di sana?

Air mata yang berguguran tidak sama dengan darah yang mengalir dalam menegakkan agama Allah. Allahuakbar! Rasa berdosa. Ya Allah, ampunkan kami kerana kami hanya mampu berdoa untuk saudara-saudara kami di sana.

Saya segera menelefon suami untuk menenangkan diri. Tangisan saya mengejutkan suami. Puas disoal. Jawapan yang diberikan hanyalah suara tangisan, sehingga akhirnya saya gagahkan diri menceritakan sebab saya menangis sebegitu teruk. Suami berusaha menenangkan dengan meminta saya segera berwudhuk, solat Zuhur dan berdoa untuk para pejuang di Mesir.

Panggilan telefon dimatikan. Esakan masih bersisa. Saya tidak tahu kenapa. Perasaan yang sukar untuk diterjemahkan.

Saat mata masih menangis, akal saya lantas mencari 'sesuatu' untuk menenteramkan jiwa yang sedang berduka. Alhamdulillah, Allah segera memberi 'motivasi' dengan diingatkan diri ini dengan ayat Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 154 :

"dan janganlah kamu mengatakan orang-orang yang berjuang di jalan Allah (mereka) telah mati. Bahkan sebenarnya (mereka) HIDUP, tetapi kamu tidak menyedarinya" [al-Baqarah-154]

Masha Allah! Diri ini aman kembali. Saya bergegas untuk berwudhuk dan solat Zuhur. Usai solat. Hati kembali tenang.

Ya, mereka tidak mati, bahkan mereka HIDUP!







Rujukan: https://www.facebook.com/MesirKini

http://www.egyptwindow.net/news_Details.aspx?Kind=7&News_ID=44028

Sunday, March 16, 2014

Muhasabah


Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 




Sungguh Allah itu dekat dengan hamba-Nya. Jangan sia-siakan sementara masih dikurniakan udara untuk bernafas. Nadi masih laju berdenyut.

Serahkan diri kepada Allah.

ان صلاتى ونسكى ومحيي ومماتي لله رب العلمين

hayat.fm

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Sudah masuk bulan keempat di rantau orang. Jordan. Tanah Arab, tempat kedua saya jejaki selepas Makkah dan Madinah. Tetap ada perbezaan walaupun persamaannya adalah 'Arab'.

Sudah tidak lama juga masa saya di sini. Mu'tah. Yang suatu masa dahulu adalah tempat peperangan. Darah para syuhada' pernah mengalir di bumi ini. Mengambil semangat jihad para pejuang Mu'tah, telah membuatkan saya cuba memberanikan diri untuk membuat suatu perkara yang dahulunya difikirkan sukar dan payah. Iaitu bercakap dalam bahasa Arab.

Walaupun saya telah mempelajari bahasa Arab sewaktu di bangku sekolah rendah lagi, ditambah dengan enam tahun sekolah menengah, tiga tahun diploma, dan tiga tahun ijazah, ia masih belum buat saya yakin dan berani untuk bercakap dalam bahasa Arab. Tidak seperti bahasa Inggeris. Walaupun tidak begitu mahir, tapi masih mampu 'berani' bercakap.

Alhamdulillah. Suatu hari saya tergerak untuk memasang radio. Banyak 'channel'. Pelbagai. Saya terus mencari siaran yang 'kena' dengan jiwa. Akhirnya saya ketemu dengan "hayat.fm". Suara latar belakang yang lebih mendamaikan. Saya cuba hayati suara DJ dan topik yang dibicarakan. Serupa ikim.fm di Malaysia! Alhamdulillah. Teruja.

"hayat.fm" sedikit sebanyak mampu mengubat kerinduan saya terhadap ikim.fm. Saya mula mempelajari kalimah-kalimah Arab yang diucapkan oleh DJ yang bertugas. 'Hiwar' (perbualan) antara DJ dan tetamu undangan saya cuba ikuti. Faham dan ucapkan semula. Adakala bantuan suami diperlukan.

Tolong translate.

diorg bincang tentang apa?

Antara ayat yang biasa saya utarakan kepada suami. Alhamdulillah. Suami sabar dan memberi kerjasama yang baik. :)

Usaha untuk mempelajari dan mempraktikkan bahasa Arab masih giat dilaksanakan. Semoga Allah mudahkan urusan ini. Allahuakbar!





Saturday, March 15, 2014

Teruskan Membaca

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

sakura di Irbid

Seminggu ini hujan turun lebat. Kata orang di sini penamat musim sejuk. Allahuakbar. Kuasa Allah. Kalau di Malaysia kering dan panas. Apabila suara mahu merungut, pasti segera menggantikannya dengan rasa syukur, asbab memikirkan tanah air sudah lama tidak dilimpahi hujan. Allahuakbar!

Hujan turun beserta dengan tiupan angin yang kuat dan udara sejuk. Hingga suatu ketika frost turun dengan banyaknya. Terkumpul seolah-olah salji! Subhanallah. Bersyukurlah!

Musim bunga bakal menjelma.

...................................

Cuaca sejuk yang masih bersisa ini menjadikan motivasi untuk menghabiskan bacaan buku yang dipinjam. "Diari Musafir Jangan Berhenti 'Berlari'" karya Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman. Tulisan pertama beliau yang saya baca ini memang mampu membuatkan saya termotivasi secara tidak sengaja. Kerana pada mulanya buku tersebut dipinjam hanya untuk menghabiskan masa lapang.

Dari sudut pemerhatian secara rambang, kandungan di dalam buku tersebut sangat ilmiah, bermanfaat dan dipenuhi dengan fakta. Faktor beliau merupakan ahli akademik telah menjadikan buku tersebut sungguh enak dan kenyang bagi mereka yang sukakan bacaan santai tetapi penuh fakta. Dari sudut gaya bahasa yang digunakan tidaklah terlalu bersastera dan tidak banyak 'bunga', akan tetapi ianya tetap menarik perhatian saya untuk menyambung bacaan walaupun di dalam kesejukan. Alhamdulillah. Buku yang setebal 437 muka surat berjaya saya khatamkan selama 2 hari setengah, di samping terpaksa bertarung dengan suhu sejuk.

Apa yang menarik hati saya untuk mencoretkan perihal karya Ustaz adalah kerana kandungannya yang sering menyebut 'SAHAM AKHIRAT', 'KEMATIAN', 'AMALAN', serta perkara-perkara yang berkaitan dengan dakwah dan sumbangan untuk Islam dan ummah. Allahuakbar! Termuhasabah. Jadi kelu seketika apabila dihitung dan dikira amalan ini. Ditahap yang mana?

Ustaz turut menyatakan kepentingan menuntut ilmu, menyampaikan dan mengamalkannya. Beberapa siri pertemuan Ustaz bersama ulama' terulung di dunia menyebabkan saya rasa kagum. Kisah keazaman yang beliau tonjolkan di dalam buku berkenaan menjadikan saya berfikir dan menilai. Adapun kebaikan dan kelebihan yang diceritakan Ustaz masih mampu menjadikan sifat rendah diri masih menebal di dalam penulisan beliau. Kerana ianya  berkaitan dengan 'DAKWAH'  dan 'SAHAM AKHIRAT'.

Cukup. Terlalu panjang dan 'mahal' untuk dihuraikan di dalam entri saya. Jadi saya mengajak rakan-rakan yang masih belum membaca buku Ustaz agar berusaha mendapatkannya dan bacalah sehingga habis. Usaha untuk menilai dan mengambil pengajaran daripada buku "Diari Musafir Jangan 'Berhenti' Berlari".

Selamat membaca! :)