Tuesday, April 29, 2014

Ucapkanlah Alhamdulillah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Hidup ini dikelilingi dengan pelbagai 'kisah' sebelum sampai kepada yang hakiki [akhirat]. Kitalah [diri sendiri] yang mencari, berfikir dan menilai agar terbentuk sebuah hikmah yang bernilai tinggi iaitu sampai kepada tahap SYUKUR dan tahu berterima kasih. 

Wahai Allah yang Maha Memberi, jadikan kami sentiasa mahu ada rasa syukur dengan-Mu ya Allah!

Alhamdulillah. 

Bayt Muhammad Khir,
Mu'tah Jordan
23:24


Allah Pemberi Sakit, Allah Jua Pemberi Sembuh

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

26 April 2014

Pengalaman mendapatkan rawatan di markaz sihhi (klinik kesihatan kerajaan) Mu'tah suatu momen yang berharga. Bangunan sederhana besar satu tingkat itu tenang. Pesakit tidak ramai. Mungkin kerana kami tiba di sana pada waktu tengahari. 

Hati sedikit berdebar dan gementar bercampur dengan sakit perut. Keputusan untuk ke markaz sihhi dibuat setelah kami menghubungi emak di Melaka, meminta pendapat. Sungguh tidak tertahan sakit perut (cramp). Tidak mampu berdiri tegak, jalan secara berbongkok dan perlahan. Bertambah sakit apabila batuk dan selesema tiba-tiba menyerang. Allahuakbar! 

Antara penyebab kami risau dan takut untuk mendapatkan rawatan di sini ialah, doktor-doktor Arab! Bahasa juga menjadi sebab terpencil. Saya tidak mahir dan fasih berbahasa Arab. Cuma masih boleh memahami apa yang diperkatakan. Suami meyakinkan saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris sahaja dan dia yang akan berbahasa Arab. 

Kehadiran kami di situ kelihatan asing kerana hanya kami sahaja Malizi (orang Malaysia) kerana kebiasaannya rakan-rakan kami  hanya ke markaz sihhi jami'ah. Terasa sungguh 'segan' kerana diperhatikan, ditambah pula ada seorang budak perempuan yang comel, umurnya dalam lingkungan 2 tahun. tidak kelip-kelip mata memandang saya walaupun dia sedang berjalan. Saya pula tidak kelip-kelip mata membalas pandangannya kerana rasa kagum dengan kecomelan yang dimilikinya. Pada ketika itu, kesakitan terasa berkurang. Terapi dari budak perempuan itu agaknya! :)

Akhirnya giliran kami sampai. Pembantu doktor melambai-lambai tangan ke arah kami memanggil masuk. Suami terpaksa memimpin kerana masih terasa sukar untuk berjalan. Bermula sesi dialog antara saya, suami, doktor wanita dan pembantu doktor. Suami berbicara dalam bahasa Arab, saya dalam bahasa Inggeris. Terasa payah juga kerana loghat Inggeris yang digunakan doktor adakalanya membuatkan saya tidak dapat memahami apa yang ingin di sampaikan. 

Setelah diperiksa oleh doktor, saya diminta untuk pergi ke bilik yang lain untuk menguji tekanan darah dan suhu badan, kemudian bertemu semula dengan doktor tadi. Doktor kemudian menulis senarai ubat yang perlu diambil di farmasi. Saya duduk di kerusi sambil melihat kertas tersebut. Pelik!

Nama yang tertulis pada kertas itu bukan nama saya. Boleh jadi tertukar kertas dengan pesakit lain. Suami yang turut menyedari hal ini segera berjumpa dengan doktor. Rupa-rupanya kertas itu milik saya. Doktor wanita tadi telah menukarkan nama dan maklumat di atas kertas itu agar saya menjadi 'warganegara Jordan' supaya harga ubat-ubatan yang diambil lebih murah. Barulah kami faham. Kalau diikutkan kami perlu membayar lebih kurang 5JD berbanding dengan harga warga tempatan, cuma 75 qursh. Jauh bezanya!

Sewaktu suami mahu membayar ubat-ubatan, berlaku suatu situasi yang tidak dijangkakan. Ada seorang mak cik Arab dan anak perempuannya telah membayarkan untuk kami. Alhamdulillah! Allahuakbar! Rezeki. Suami mengucapkan terima kasih kepada mereka. 

Kemudian, ketika kaki mahu melangkah keluar, saya ternampak suatu petikan ayat al-Quran bersaiz besar memenuhi ruang atas pintu keluar tersebut. Ayat yang membuatkan saya 'tersentap' dan berfikir, dan kemudian terus mengucapkan penyerahan kepada Allah. Dia yang memberi sakit dan Dia jugalah yang memberi sembuh.

[Asyu'ara' : 80]


Wednesday, April 23, 2014

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Waktu Subuh di Mu'tah adalah pada pukul 4.40 pagi. Musim panas menjadikan waktu siang lebih panjang dan lama berbanding pada musim sejuk.

"Tunggu bila musim panas pada kemuncaknya, Subuh seawal 3.15 pagi" ujar seorang sahabat. Gulp!

Bulan Ramadhan [panas] bakal ditempuhi. Allah kuatkanlah!

Ighfir zunubi...


Bersabarlah!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah.

Musim panas bakal tiba. Suhu paling tinggi setakat ini, 27 darjah celcius. Allahuakbar. Perubahan cuaca yang membuatkan kesihatanku mudah terjejas. Tidak biasa.

Ya, bersabar dengan ujian kesihatan. 'Menghayati' hikmah yang Allah kurniakan. Isbir!