Entri kali ini, saya bawakan mengenai seorang wanita yang tabah dari Mesir. Saya pasti ramai yang mengenali beliau setelah kemenangan Dr.Muhammad Mursi dalam pilihan raya di Mesir. Ikuti temubual beliau.
Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk
meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama secara bebas di
Mesir, semakin ramai orang yang berminat untuk mengetahui tentang isteri beliau
di mana beliau dalam sebuah wawancara di salah sebuah stesen televisyen
menyebut bahwa isterinya banyak memberi pengaruh terhadap prestasi besar
yang diraih dalam kehidupannya dan sangat berperanan baginya untuk mewujudkan
berbagai kejayaan sehingga mendapatkan sokongan rakyat bagi dicalonkan untuk
menjadi presiden Mesir.
Nama isteri beliau adalah
Najla Mahmud. Dilahirkan pada tahun 1962 di desa Ain Syams, timur Kaherah.
Setelah berkahwin, dia ikut suaminya tinggal di Amerika Syarikat ketika
suaminya hendak menyelesaikan program doktor falsafahnya di sana. Kini keduanya
menetap di Kaherah.
Berikut adalah wawancaranya
dengan media Ikhwanonline.net
Dr. Mursi menyatakan dalam
beberapa kali wawancara bahwa anda adalah penasihat khususnya. Apakah dia minta
nasihat anda sebelum dilantik menjadi calon presiden. Apa reaksi anda dan
anak-anak anda ketika itu?
Tentu sahaja, sebelumnya
tidak ada di antara kami yang terfikir akan isu pencalonan presiden
beliau, apalagi Jamaah Ikhwanul Muslimin dan Parti Kebebasan dan Keadilan pada
mulanya menetapkan untuk tidak menaikkan sesiapapun dari mereka untuk
dicalonkan sebagai presiden.
Namun keputusan berubah
apabila parti dan jamaah telah mengangkat Khairat Syatir untuk maju dalam
pemilihan presiden.
Kami sudah cukup gembira
ketika itu, Allah telah membebaskan kami dari tanggungjawab berat tersebut
sambil kami tetap akan mengerahkan segala potensi dan kekuatan untuk menjayakan
program tersebut, tetapi dalam kedudukan sebagai 'perajurit' bukan kerana ingin ke depan.
Namun oleh kerana jamaah dan parti
bekerja berdasarkan sistem dan mereka meramalkan akan berlaku permainan dan
muslihat politik, maka perkara tersebut menjadi alasan untuk mengetengahkan
suami saya Dr. Muhammad Mursi untuk menunaikan tugas dan projek ini jika
ternyata Ir. Khairat benar-benar dilarang.
Ketika penolakan terhadap
Syatir benar-benar berlaku, perkara tersebut semakin menguatkan bahwa kita
bekerja bukan kerana jawatan, tetapi berjuang kerana Allah Ta'ala. Buktinya
Syatir menerima keputusan penolakan terhadap dirinya dan berjuang
bersungguh-sungguh untuk berkempen bagi pihak Dr. Mursi.
Apakah anda merasa
tersinggung dengan julukan sebahagian orang yang mengatakan bahwa Dr. Mursi
adalah 'Tayar Ganti'?
Sama sekali tidak, kerana
pemilihan tersebut bukan menunjukkan urutan keutamaan. Ertinya bahwa keduanya
adalah layak, sedangkan pengganti tidak semestinya lebih lemah. Istilah 'tayar ganti' adalah bahasa media, sedangkan jamaah tidak
memilihnya untuk menjadi'tayar ganti', akan tetapi untuk
menghadapi muslihat dan permainan politik.
Bagaimana keluarga menghadapi
keputusan jamaah yang menetapkan Dr. Mursi sebagai calon presiden?
Meskipun tabiat manusia pada
umumnya tidak menyukai ujian, tetapi kami menyambutnya dengan cinta,
ridha dan qanaah.
Kami semuanya sepakat dengan
keputusan jamaah tetapi pada awalnya, ketika mereka mengajukan tawaran
pencalonan presiden terhadap Dr. Mursi bersama Ir. Khairat Syatir, kami
berdua merasa sangat khuatir akan mengalami berbagai perancangan jahat maka
saya katakan kepadanya, "Mengapa engkau menerima perkara tersebut
berlaku pada Ir. Khairat Syatir sedangkan engkau tidak bersedia menerimanya
pada dirimu?"
Hal ini bukan bererti kami
tidak boleh risau, bagaimanapun kami sebagai manusia apalagi keputusan diambil
dalam waktu yang sangat singkat. Kesimpulannya, kami akan sokong setiap calon
dari Ikhwan, apakah dia Dr. Mursi atau Syatir atau lainnya, dengan segenap
kemampuan yang kami miliki, samada berupa ucapan mahupun gerakan hingga ke
akhirnya.
Apakah anda tidak khuatir
akibat yang perlu anda bayar beserta keluarga dari pencalonan ini?
Kami sudah benar-benar sedari
apakah risiko yang akan kami tanggung, tetapi semua itu menjadi ringan jika
dibandingkan dengan apa yang akan kami berikan kerana Allah dan umat ini.
Demikianlah kami belajar dari
Jamaah Ikhwan, bahwa kemaslahatan umat didahulukan dari kemaslahatan peribadi.
Oleh yang demikian, kami bersedia menanggung berbagai risiko dengan kurnia
Allah, 'Siapa yang berjuang kerana Allah, akan diberikan
keteguhan saat menghadapi ujian.'
Apa yang anda ketahui tentang
karakteristik seorang ketua negara yang terdapat pada Dr. Mursi?
Dr. Muhammad adalah seorang
ahli politik yang matang. Walaupun dalam kesibukannya, beliau sentiasa memberi
perhatian terhadap berbagai perkembangan dan masukan serta analisa yang beraneka
ragam. Dari hari ke hari saya melihat sifat-sifat kenegarawanannya semakin
tumbuh untuk memikul jawatan sebagai Ketua Negara.
Ditambah pula dengan bakat
kepimpinan dan pentadbiran dengan semangat tinggi serta kesetiaan yang besar
terhadap negara dan rakyatnya.
Itu semua diraih berkat
kesungguhan dan kemahuan kuat untuk meraih prestasi demi prestasi seraya
memohon pertolongan kepada Allah, sabar menghadapi ujian dan pengendalian diri
ketika mengalami peristiwa besar dan merenung untuk mendapatkan penyelesaian
terbaik agar dapat keluar dari berbagai krisis dalam keadaan terbaik.
Dr. Mursi sering menyatakan
bahwa anda merupakan prestasi terbesar yang diraihnya dalam hidup. Bagaimana
komentar anda?
Ini semua merupakan kurniaan
dari Allah terhadap keluarga kami yang diberikan nikmat berupa taufiq, cinta
dan kasih sayang. Dr. Muhammad sebagaimana orang Mesir katakan adalah 'orang hebat,
anak dari orang-orang hebat'.
Dia selalu mengenang
perjuangan saya ketika saya mengikutinya ke Amerika setahun setengah setelah
perkahwinan kami di Mesir. Ketika itu dia sedang menyelesaikan program PHDnya.
Ketika itu saya mengerahkan
segenap kemampuan untuk membantunya dalam menyelesaikan tugas dan meraih
prestasi terbaik. Meskipun misi tersebut sangat berat, kami tetap rajin
berdakwah sebelum akhirnya kami meninggalkan berbagai tawaran Amerika yang
menggiurkan untuk kemudian kami pulang ke negara kami agar dapat
mempersembahkan segenap kesungguhan kepada negara kami.
Inilah yang kami utamakan. Di
sini kami melalui kehidupan yang sangat berat, berupa ugutan rejim lama,
kezaliman, penahanan serta berbagai ancaman lain. Namun, Allah telah memberikan
kami kurniaan kesabaran, keteguhan dan kejayaan atas kemurahan dan kurniaNya.
Pelajaran apa yang diperolehi
oleh keluarga Mursi dari pengalaman pilihanraya sebelumnya?
Pada pilihanraya tahun 1995
yang diselenggarakan tanpa kehadiran pengawasan dari mahkamah serta kemungkinan
berlakunya berbagai penipuan, kami dapat belajar dari Dr. Mursi bahwa seseorang
perlu mengerahkan segala usahanya terlebih dahulu, sedangkan hasilnya ada di
sisi Allah.
Sedangkan jamaah memiliki
matlamat yang sangat banyak yang ingin diwujudkan bagi umat ini. Di antaranya
adalah keberadaan mereka di kerusi parlimen. Oleh kerana itu, jamaah mendorong
setiap anggotanya agar mendampingi rakyat dan sentiasa berkomunikasi dengan
mereka.
Yang kedua kami belajar
darinya bagaimana menghormati keputusan jamaah. Ketika jamaah memintanya untuk
diajukan sebagai calon pada pilihanraya tahun 2000, beliau tetap menerimanya
walaupun baru sembuh dari sakit ketika itu. Beliau tidak pernah menolak
permintaan Ikhwan. Ketika itu saya merasa berat, kerana saya tahu bahwa rejim
lama tidak akan membiarkan keberadaannya di kerusi parlimen.
Banyak keluarga anggota
parlimen yang mendapatkan kemudahan istimewa. Bagaimana keadaan keluarga Mursi
ketika dia duduk di kerusi parlimen selama 5 tahun?
Selain berharap pahala dari
Allah, tidak ada kemudahan yang kami dapatkan selain gangguan dan ancaman
kerana dia merupakan tokoh dan anggota parlimen yang paling kehadapan. Anak
saya, Ahmad, lebih dari sekali ditahan sebagai usaha ugutan terhadap bapanya
agar tidak lagi mencalonkan diri pada pilihanraya berikutnya.
Begitu juga saudaranya,
Usamah, sempat ditahan, dicolek pada malam hari oleh pihak unit khas dan
mendapatkan perlakuan yang kasar, ketika itu beliau sedang menuju ke masjid
untuk menemui saudaranya. Ini ditambah pula dengan berbagai isu lain yang
dikaitkan dan sering disebarluaskan. Di antaranya isu bahwa dia melantik anak
perempuannya sebagai dekan, padahal dia sendiri dalam kumpulannya yang
disingkirkan. Perlantikannya berlaku semata-mata kerana sebuah peristiwa.
Serangan media akhbar sangat
keras terhadap calon dari Parti Kebebasan dan Keadilan. Apakah anda tidak
khuatir? Sejauh mana pengaruhnya pada keluarga anda?
Allah Azza wa Jalla sentiasa
menggagalkan setiap usaha yang dikerahkan untuk mencari aib seseorang. Media di
sini memang terkenal zalim dan telah hilang kredibilitinya, mereka sering
memihak dan mencipta isu-isu. Hingga kini saya belum dapat mengembalikan
kepercayaan terhadap akhbar Mesir kerana seringkali mereka menyebar berita
bohong tentang keluarga kami.
Meskipun demikian, saya masih
merasakan kemuliaan Islam dan semakin menambah keyakinan saya bahwa saya berada
di jalan yang benar kerana saya benar-benar yakin terhadap program Ikhwanul
Muslimin. Bagi mereka yang mengamati sirah dengan baik, akan mengetahui bahwa
beginilah sunnatullah, bahkan para rasulpun menghadapi berbagai ujian. Dan hal
ini akan semakin menambah kekuatan bagi kami.
Tersebar isu bahwa Dr. Mursi
melarang anda untuk meneruskan kuliah. Apakah perkara itu benar?
Saya pergi ke Amerika setelah
saya menyelesaikan pendidikan menengah atas. Di sana saya belajar bahasa
Inggeris secara khusus. Setelah itu saya bekerja tanpa gaji sebagai penterjemah
secara langsung bagi para wanita muallaf Amerika dalam pengajian mereka di Bait
Thalib Muslim di Los Angeles.
Pada mulanya setelah kembali
dari Amerika saya berniat untuk meneruskan kuliah, tapi akhirnya saya lebih
memilih untuk sepenuh masa dalam mendidik anak-anak saya. Akhirnya saya dan
anak-anak dapat menyelesaikan hafalan Al-Qur’an. Saya memberikan mereka
pelajaran hingga sekolah menengah atas. Dari sinilah saya mulai melakukan
aktiviti dakwah bersama jamaah Ikhwan. Itulah pekerjaan saya.
Adapun Dr. Muhammad, tidak
pernah melarang saya untuk meneruskan pelajaran dan tidak melakukan campur
tangan dalam masalah ini. Justeru sebaliknya, apabila saya memintanya untuk
memperkukuhkan kembali kemampuan bahasa Inggeris saya, dia memberi memotivasi
kepada saya.
Mendapatkan kewarganegaraan
Amerika adalah mimpi bagi orang yang bekerja dan tinggal di sana. Apakah anda
pernah berusaha untuk mendapatkannya?
Sebagaimana yang diketahui
bahwa undang-undang Amerika menetapkan bahwa sesiapa yang dilahirkan di negara
Amerika akan mendapatkan kewarganegaraan Amerika. Inilah yang berlaku kepada
kedua anak kami, Ahmad dan Syaima.
Adapun saya dan Doktor,
sebenarnya mudah sekali bagi kami untuk mendapatkan kewarganegaraan tersebut,
akan tetapi tidak selangkahpun yang kami tempuhi untuk itu. Saya cabar sesiapa
sahaja yang dapat menghadirkan bukti bertulis yang menunjukkan bahwa kami
adalah warganegara Amerika. Oleh kerana itulah kami dapat membantah orang-orang
yang menuduh kami dalam masalah ini, kerana mereka tidak mendapatkan satu bukti
pun.
Apakah anak-anak anda
memanfaatkan kewarganegaraan Amerika mereka?
Kewarganegaraan anak-anak
tidak kami gunakan sama sekali. Ketika Ahmad dipenjara, salah seorang aktivis
kemanusiaan menasihatinya agar menghubungi kedutaan Amerika, mereka akan
mengatur proses pembebasannya sekarang juga.
Maka dia terus menjawab, "Saya
adalah warga Mesir, hidup di negara Mesir dan akan memilih Mesir."
Itu pula yang dijawab oleh
Mursi, meskipun dia tidak mendengar ucapan Ahmad.
Dia berkata,
"Anak saya adalah warga
Mesir, apa yang berlaku pada teman-temannya, berlaku pula padanya. Saya tidak
akan minta tolong dengan institusi di luar Mesir untuk campur tangan dalam
urusan dalaman negara Mesir walaupun mereka bertindak zalim kepada kami."
Mengapa Dr. Mursi memutuskan
untuk menamatkan urusan pelajarannya di Amerika Syarikat dan kembali ke Mesir?
Ketika Doktor menyelesaikan
masa kuliahnya di sana, yang selalu terbayang dalam fikirannya adalah bagaimana
memberikan manfaat kepada masyarakatnya dari ilmu yang dia raih, apalagi dia
menghendaki untuk kembali ketika anak-anaknya masih dalam masa pertumbuhan agar
mereka terdidik di sana.
Ketika kami kembali, Ahmad
masih berusia 4 setengah tahun sedangkan Syaima berusia 2 setengah tahun.
Setelah itu kami tidak pernah mengunjungi Amerika lagi. Kami tinggalkan
Universiti Amerika yang menawarkan berbagai macam tawaran. Lalu beliau kembali
ke Universiti Zagazig yang ketika itu masih dalam peringkat permulaan.
Apakah anda tidak menolak
keputusan tersebut?
Pada mulanya saya
menentangnya, khususnya anak-anak ketika itu masih dalam usia yang tidak perlu
dikhuatirkan. Apalagi saya tahu bahwa Doktor ketika itu sangat menyukai
pelajaran dan melakukan kajian di mana segala kemudahan tersedia di Amerika.
Namun ketika itu dia menjawab bahwa dia ingin agar permulaan pertumbuhan
anak-anaknya seperti anak-anak di negaranya.
Bagaimana menurut anda
peranan isteri bagi seorang Presiden setelah revolusi?
Saya ingin tetap berada di
tengah-tengah masyarakat, hidup seperti mereka hidup dan mendengarkan keluh
kesah mereka sepertimana perkataan Sayyidina Umar, "Seandainya
ada seekor keledai tersesat di Irak, niscaya saya akan ditanya oleh
Allah."
Bagaimana halnya dengan
manusia yang tidak mendapatkan segelas air bersih atau tidak mempunyai
pembiayaan untuk berubat?!
Ada masyarakat yang masih
hidup di bawah paras kemiskinan. Merekalah kelompok pertama yang akan menjadi
perhatian saya dalam ruang lingkup sosial di luar institusi dan itulah yang
selama ini saya ceburi dalam bidang sosial selama sekian tahun di sektor wanita
dalam jamaah Ikhwan.
Bagaimana dengan kegiatan
dakwah anda?
Saya akan tetap berdakwah dan
tidak mungkin saya tinggalkan kerana inilah hidup saya selama 30 tahun.
Apakah anda pernah
mengimpikan menjadi wanita nombor satu di Mesir? Bagaimana perasaan anda
sekarang?
Julukan itu saya tolak sama
sekali. Julukan itu berlaku untuk Jihan Sadat dan Suzan Mubarak di mana
kedua-duanya ikut campur tangan dalam segala urusan samada politik atau
ekonomi.
Islam mengajarkan bahwa
Presiden Mesir berikutnya adalah pelayan Mesir nombor satu, maka itu ertinya
bahwa isterinya juga adalah merupakan pelayan wanita Mesir nombor satu.
Setelah sekian tahun hidup
dalam kezaliman yang dialami oleh keluarga Dr. Mursi, apa yang anda rasakan
ketika menyaksikan kejatuhan diktator Mubarak?
Ketika itu saya ingat firman
Allah Ta'ala,
"Katakanlah, Ya Allah
pemilik segala kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau
kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki." (QS
Ali Imran : 26)
Darinya kami mengambil
pelajaran bahwa kekuasaan tidak akan berterusan pada seseorang. Dan kekuasaan,
jika Allah kehendaki berakhir, maka Dia akan mencabutnya, setelah Dia
memberinya dengan mudah, disamping hal itu merupakan kehendak rakyat yang telah
dizalimi selama masa kekuasaan diktator, agar hati mereka senang. Khususnya
Khairat Syatir dan Hasan Malik yang terlambat dibebaskan.
Ketika saya melihat pemimpin
yang digulingkan itu berada di atas katilnya di ruang tertuduh, dengan berbagai
usaha peguam untuk menyembunyikannya dari pandangan, saya ingat bagaimana
Khairat Syatir dahulu ketika di sidang perbicaraan dengan kepala tegak. Semua
itu memberikan keyakinan pada saya bahwa pertolongan Allah itu pasti
datang.
Bila anda akan mengatakan
kepada Dr. Muhamad Mursi, 'Cukup sudah kerja anda sampai di sini?"
Saya tidak akan mengatakan
kepada doktor, 'Cukuplah kerja anda sampai di sini' kerana Islam mengajarkan kepada kami untuk
sentiasa beramal hingga akhir kesempatan. Ini disebabkan kami beramal kerana
Allah. Saya tidak dapat melihat Dr. Mursi tidak beramal. Apabila itu berlaku,
justeru saya merasa ada yang aneh padanya.
Sebagai penutup, apa yang
ingin anda katakan kepada suami anda?
Semoga Allah menolongmu memikul tanggungjawab ini
dan memberimu keteguhan dan keridhaan serta menjadikan kami sebagai
penolongmu di jalan tersebut.
Ya
Allah, tetapkanlah kaki kami di jalan dakwahMu dan berikanlah kami sifat
istiqamah beramal untuk melaksanakan segala tuntutan dan perintahMu. Kurniakanlah
kemenangan kepada golongan mukminin yang sebenar sehingga syariatMu akan
tertegak semula di bumi Mesir dan di bumi-bumi lain di seluruh dunia sehingga
kalimahMu tegak berdiri dan memayungi setiap insan di dunia bagi merealisasikan“Rahmatan
Lil Alameen”.
Najla Mahmud, semoga saya menjadi setabah dan sekuat anda, yang berada di sisi suami yang akan membawa saya dan anak-anak kami kepada redha Allah.. allahumma amin..
No comments:
Post a Comment