Wednesday, January 2, 2013

Adik Along

31 Disember 2012

Adik!

Along!

Serentak.

Aku dan dia saling berpelukan. Gembira kerana sudah lama tidak bertemu. Surau wanita di aras 4 Kuala Lumpur Sentral menjadi tempat pertemuan kami. Tidak di sangka-sangka. Alhamdulillah.

"Along, adik dengan Angah Mas, nak hantar dia balik Sungai Petani. Kereta api pukul 9.20 malam ni, kami nak pi makan dulu kat Food Court, nanti kita jumpa semula ya lepas solat Isyak,"

"Insha Allah, kita jumpa nanti ye.." 

Kami berjanji untuk bertemu semula selepas usai solat Maghrib.Rupa-rupanya dia keseorangan dari UIA. Tiada teman. Saya bimbangkan keselamatan dia. Teringat kata-kata Adik.

'Lepas Angah Mas balik, Adik nak ikut Along boleh tak? Nak join Ekspedisi Dakwah sempena tahun baru. Adik teringin sangat nak join. Kalau kat DQ dulu Adik tak pernah ada peluang nak pi. Boleh kan Along?'

'Ya Allah, boleh sangat-sangat. Don't worry, you can follow me' ucapku sambil tersengih.

Monolog : 'Ya Allah, apakah hikmah aku bertemu dengan adik. Dalam keadaan begini. Ya Allah, aku tahu ada sesuatu yang Engkau mahu beri padaku.'

Alhamdulillah, Ekspedisi Dakwah berjalan dengan lancar walaupun tetap ada ancaman-ancaman dari pihak yang tidak senang dengan kehadiran kami.

Jam di Bangunan Sultan Abdul Samad sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Semua orang bersesak-sesak untuk balik. Berjalan kaki beramai-ramai menuju destinasi masing-masing. Ada yang hampir berlanggar kerana mengejar masa. Bunyi riuh rendah dan sangat membingitkan telinga dengan bunyi 'trompet kecil' tu. Hati berdebar-debar kerana takut ada perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam hati hanya berdoa agar Allah selamatkan perjalanan kami.

"Along, Adik nak ikut Along balik Bangi boleh?" Pandangan matanya sayu dan agak berharap dia dapat mengikutku balik.

"Boleh." jawabku tanpa banyak bicara sambil menghadiahkannya senyuman yang paling manis walaupun keletihan amat mencengkam diriku.Kemudian kuhulurkan sebotol air mineral kepadanya. Dia sekadar menggeleng kepala tanda tidak mahu. Pelik. Aku agak pelik dengan sikap Adik. Ada sesuatu yang disembunyikannya dari pengetahuanku. Aku sekadar bergumam di dalam hati yang aku akan cuba selami hatinya. Ya, kami masih ada masa bersama. Insha Allah.

Aku dan Adik tidak berenggang sejak dari kami bertemu di KL Sentral, Dataran Merdeka dan juga sepanjang perjalanan pulang ke UKM. Kami sentiasa berdua, seolah-olah sahabat-sahabatku yang lain tidak bersamaku. Tapi aku yakin yang mereka faham bahawa aku perlu bersama adikku yang sememangnya keseorangan.

Kami sampai di Bangi pada jam 1.45 pagi. Sampai sahaja di teratak kami, masing-masing membawa diri untuk melepaskan lelah setelah semalaman berekspedisi.

1 Januari 2013

"Along, bangun solat Asar," Aku bingkas bangkit dari pembaringan. Mahu segera sempurnakan solat.

Usai berdoa. Aku termenung seketika. Memandang sejadah. Fikiran buntu. Banyak perkara yang difikirkan. Adik sudah bersiap-siap mengemas diri. Kemudian aku segera mematikan lamunan itu. Berdiri berhadapan dengan Adik. Kuhulurkan tangan tanda mahu bersalaman dengan dia. Tanganku segera disambut. Lalu kupeluk Adik.

"Adik, doakan Along." habis sahaja kata-kata itu, air mataku terus menitis. Mengalir tidak henti-henti. Pelukannya dikemaskan lagi.

"Adik, Along banyak dosa. Along banyak buat dosa dengan Allah. Along takut. Along risau kalau Allah tak ampunkan dosa Along. Allahurabbi. Setiap kali Along mohon ampun dan bertaubat, Along rasakan yang Allah tak ampunkan dosa Along. Dan banyak kali Along berkata-kata dalam hati yang Allah tak terima taubat Along. Dan selepas Along buat dosa, Along akan fikir yang Allah tak jaga Along. Adik, Along jahat. Along sangka buruk dengan Allah. Walhal dalam Al-Quran Allah dah kata yang manusia ni sendiri yang akan zalimi dirinya sendiri.Ya Allah.. Adik, Along takut. Along risau makhluk di langit tak iktiraf Along lagi. Along malu nak duduk di muka bumi ni. Allahurabbi." kataku sambil menangis teresak-esak. Penuh pengharapan agar Allah mengampunkan dosa ini. 

"Along, Adik pun merasakan perkara yang sama. Hati Adik rasa kosong sejak belajar di UIA. Adik risau. Adik takut." Dia menitiskan air matanya. Akhirnya kami menangis bersama. Tapi tangisanku lebih lagi.

Adik menenangkanku. Ditepuknya belakangku perlahan-lahan. Diciumnya pipiku kiri dan kanan. Matanya merenung mataku. Dalam-dalam. 

"Along, Allah tak pernah jauh dari hamba-Nya. Selagi Allah dalam hati, tiada siapa boleh buat kita derita. Allah itu Maha Penyayang. Dia rindu Along, sebab itu Dia uji Along supaya Along bercakap dan menangis pada-Nya. Jangan terpedaya dengan kata-kata hati yang selalu kata Allah tak ampunkan dosa Along. Sebab Along kena tahu itu semua adalah bisikan-bisikan syaitan, yang mahu Along berputus asa dengan rahmat Allah." kata-katanya membuatkan kutersentak. Allahuakbar!

Air mataku dikesat. Tapi ia tetap mahu mengalir. Seakan-akan tidak mahu berhenti. 

"Along kena yakin dengan Allah. Along kena bersangka baik dengan Allah. Dia uji sebab Dia tahu Along boleh hadapi ujian ini. Ujian kesenangan. Ujian kesempitan. Kembali kepada Allah." kata-kata Adik meredakan tangisanku.

Air mataku dikesatnya lagi. Kemudian Adik tersenyum. Lantas dia memelukku dengan pelukan yang sungguh erat. 

"Adik bersyukur sebab Allah kurniakan Adik berukhwah dengan Along. Adik sayang Along!"

"Along tak ada apa-apa Adik. Along hamba-Nya yang hina." jawabku sayu.

"Along, Adik tetap bangga dengan Along sebab Along masih rasa ada Allah dalam hati Along. Adik bersyukur sangat-sangat sebab Allah izinkan kita bertemu." 

Sungguh butiran ayat yang keluar dari bibirnya membuatkan hatiku tenang. Damai. Tangisanku masih bersisa lagi. 

"Ok Along, cepat siap-siap, Adik nak balik. Along kena hantar Adik pi stesen KTM." ujarnya sambil tersengih manja sambil menepuk-nepuk bahuku. 

"Ok.. Along siap-siap ni. Terima kasih banyak-banyak Adik. Alhamdulillah, Along ketemu hikmah bila Allah takdirkan kita bertemu."

Adik sekadar tersenyum dengan jawapanku. 

......................................................

Surau BBB
 
 Aku tiba lewat di surau itu. Sementara menunggu azan Isyak. Aku segera mencapai Al-Quran tafsir di rak yang tersusun rapi.  Kemudian menyelak dan membukanya secara rawak. Kubaca perlahan-lahan. Surah Al-Isra'. Mataku tiba-tiba tertumpu di ayat yang ke-25. Kubaca maknanya. Allahuakbar! Air mataku menitis lagi. Perlahan-lahan kuseka air mata ini dari terus mengalir agar tidak terlihat jemaah Muslimat di kelilingku. 

Aku masih ingat lagi maknanya :

'Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada dalam hatimu, jika kamu orang yang baik, maka sungguh, Dia Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat.'

Ya Allah, aku malu dengan-Mu. Tapi aku tetap mahu bersyukur kerana Kau masih kurniakan aku perasaan begini. Alhamdulillah. Allah, ampunkan dosa hamba-Mu ini!

Pertemuan dan perpisahan aku dengan Adik menyimpan sejuta memori. Masih segar diingatan ini saat mahu berpisah dengannya di stesen KTM.

"Along kena kuat tau!" 

"Insha Allah. Adik pun sama, kita kena kuat. Nanti dah sampai UIA, mesej Along. Along risau Adik sorang diri balik malam-malam ni." pesanku. 

Kami bersalaman dan berpelukan sekali lagi. 

'Ya Allah, terima kasih kerana mempertemukan aku dan dia di kala ini diri ini lemah'

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.






4 comments:

  1. adik sayang along!
    sungguh pertemuan tu sgt2 x dsangka. Allah itu Maha Mendengar kata hati kita..

    ReplyDelete
  2. Allah3..tersentuh hati jannah baca entri ni..betapa kuatnya ukhuwah kalian..semoga k.miza sentiasa kuat mnjalani liku khidupan..

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Jannah.. doakan akak ye..

    Adik, hargai nikmat yg Allah bg pd kita tu.. moga terus dlm jagaan Allah..

    ReplyDelete
  4. Tidak mungkin kita hidup di dunia tanpa seorang sahabat,seorang yang mampu membimbing kita untuk mendekatkan diri ini kepada Allah,seorang yang akan memperingatkan diri dikala dalam kelalaian.Alahmdulillah wa syukurillah kerana diri ini dikelilingi rakan seperjuangan yang saling mengambil berat akan diri ini..:)

    ReplyDelete