Thursday, August 6, 2015

Penantian Itu Suatu Kemanisan

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Sore ini, langit masih mendung. Hujan yang turun tadi menyegarkan tanah yang kering kontang. Umpama menyejukkan hatiku yang dirudum kesedihan. Hujan itu kan rahmat dari Allah?

Waktu-waktu begini, jiwaku sungguh merindui kehadiran suami di sisi. Menenangkan daku dengan kata-kata semangat dan perangsang agar daku terus kuat menghadapi ujian ini.

Menghitung hari, 
Detik demi detik..

Sungguh sabarku teruji menanti kepulangan suami yang dirindui. Ucapannya yang sering membuatkan daku tersenyum dan melupakan ujian yang melanda.

Pagi tadi ;

-Salam, awak sihat? macam mana keadaan pagi ini?

-I'm okay, Alhamdulillah.. 

-You're okay, I'm okay, so, we're okay.. hehe.. Awak jangan sedih-sedih ye.. Allah nak beri yang terbaik untuk kita..

Mesejnya membuatkan daku ketawa geli hati. Dia berusaha untuk menggembirakan hatiku. Cuma daku kadang-kadang terlalu mengikutkan perasaan.

Okay, the important thing is, i miss him very much..!


Wednesday, August 5, 2015

Senyum Selalu

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..

Duhai hati, andai diri ini terus terbuai oleh rasa sedih, pasti daku sudah kehabisan air mata. Menangisi nikmat yang belum hadir dalam hidup kami. Cuma daku dan dia yang merasainya.

Adakala, hati ini terguris juga melihat saudara mara dan sahabat handai tertawa gembira bersama permata hati mereka. Gambar comel yang di update berserta status bahagia dan ceria membuatkan hati ini kadangkala tiada perasaan. Mujur, daku jarang ber'FB. Kalau tak, boleh stress juga dibuatnya..huhu..

Okay, tak nak rosak mood senyum selalu.. ;)

Itulah manusia,

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan..

Kini, kami belajar erti syukur. Syukur dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan Allah.. tanpa kita sedari, tidak terhitung. Allahuakbar!

Ya Allah, ubati hati kami.. 

Terima kasih Abang sebab memahami diri ini.. :')

#senyum selalu

Tanam Anggur

Alhamdulillah.. Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Tanam anggur..? Nampak macam real.. tapi..

Itulah antara masalah yang berlaku sekarang. Tiada pekerjaan. Susah dapat kerja yang dipohon (nak mudah kena ada 'kabel elektrik' =_= )

Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi negara. Allahuakbar!

Alhamdulillah..mujur, suamiku dapat mengajar di sekolah tahfiz, dan daku pula mengajar al-Quran setiap Sabtu dan Ahad di masjid. Ada juga la kerjanya..~

Alhamdulillah, kami mengamalkan cara hidup yang sederhana, Walaupun kalau mahu ikutkan nafsu, semua benda rasa tak cukup. Alhamdulillah, tarbiyyah hidup di Jordan dulu mengajar kami erti hidup. Susah dan senang kami bahagia..

Perkara yang nak dibangkitkan ialah, cara nak keluar daripada belenggu 'tiada pekerjaan' atau nampak sedap, 'tanam anggur'.

Memang tidak dinafikan sekarang ni kata orang mudah nak cari duit, 'business online, jobdirumah, dan bermacam-macam lagi. Cumanya perlukan keberanian dan keyakinan. Yang penting, sikap kita bila berdepan dengan masalah kerja ni. Kalau ikutkan rasa susah dan down bila fikir tentang kerja dan wang, Tapi, kita kena bijak mengurus emosi dan bentuk minda positif.

Insha Allah..yakin dengan Allah.. yang penting kena USAHA.

Zaman yang mencabar ni sepatutnya menjadikan kita lebih kreatif untuk mengurus kehidupan. Bukan mematahkan semangat. Okay?

Kalau kita ni pandai, bijak, boleh buat kelas tuisyen rumah ke rumah. Kalau kita ada kemahiran menjahit, ambil tempahan. Kalau kita ada skill snap picture, dan seumpamanya, kita gunakan segala kepakaran yang kita ada. Allah Maha Adil. :)

Bermulanya kejayaan dengan langkahan yang pertama.  First step. Just do it!

p/s: tapi kalau kita ada kemahiran bertani, cuba try tanam anggur.. insha Allah menjadi.. ;)

Monday, August 3, 2015

Fikir Sebelum Berbicara

Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.

Malam ini, sekadar santai-santai..

Kalau dikira dari sudut kecanggihan teknologi, daku memang sudah jauh ketinggalan. Mahu berhubung? Hanya SMS dan panggilan telefon sahaja. FB jarang-jarang sekali. Twitter sudah berbulan tidakku buka. Alasannya mudah. Telefon Nokia putihku masih setia berkhidmat.

Kadangkala timbul rasa susah untuk berhubung dengan keluarga dan sahabat-handai. Semua orang ber'whats app, we chat, dan bermacam-macam lagi.

Alhamdulillah, daku dan suami masih bertahan lagi berhubung dengan telefon lama kami yang masih 'sihat' dan 'aktif'. Cuma perasaan rendah diri untuk mengeluarkan telefon bimbit kami adakalanya wujud. Pernah suatu ketika, suamiku ditegur oleh seniornya,

'Eh, kau guna lagi BB ni? Sekarang ni orang dah tak guna BB la..'

Saat suamiku menceritakan kisah ini, hati daku rasa panas bercampur geram. Kata-kata itu umpama mengejek dan merendah-rendahkan.

Suamiku yang penyabar tetap menyatakan yang seniornya itu memang seorang yg 'direct' dan 'straight to the point'. Tapi, bukankah kita perlu menjaga air muka seseorang bila berbicara? Fikir sebelum berkata-kata.

Berbalik kepada cerita tentang telefon tadi, kami memang merancang untuk menukar telefon pintar, selari dengan peredaran zaman, cuma bila dikaitkan dengan isu harga barang naik, GST, dan apa lagi selepas ini 'hadiah' daripada pemerintah kita nanti, kami rela bersusah dahulu, daripada menanggung hutang serta mendahulukan 'perkara wajib' berbanding telefon. Kami golongan marhaen. -ok, ini memang dah masuk bab lain, tapi masih lagi ada kaitan.. :)

Baiklah, yang penting hidup ini bukan untuk dunia., hidup untuk akhirat sana..

Anyway, special thanks for my beloved husband, thank you so much for being my best friend..! ;)

Thursday, July 30, 2015

Alhamdulillah..

Daku kalau dah mula ber'blog' ada saja idea nak menulis..

Daku masih ingat lagi, semasa masih kecil , Ayah kerap membawa kami adik beradik ke kedai buku. Dan Ayah pasti akan membenarkan untuk kami untuk membeli 1 atau 2 buah buku.

Itu dulu. Didikan yang daku baru perasan bila usia semakin meningkat. Ayah tidak pernah memaksa kami untuk minat buku. Walaupun Ayah sendiri mempunyai pelbagai koleksi buku yang dibelinya ketika di alam kampus. Banyaknya buku Ayah sehinggakan ada sebahagian daripada buku-bukunya diinfaqkan untuk sekolah sempena persaraan Ayah sebagai seorang pengetua di SDARY.

Hebatnya Ayah. Kalau daku, buku milikku pasti menjadi simpanan hingga ke akhir hayat.




Mampukah Daku Menjadi Seorang Penulis?

Alhamdulillah... Alhamdulillah.. Alhamdulillah...

Mampukah daku menjadi seorang penulis?

Cita-cita yang kupendam sejak sekian lama..

'Just do it!' kata hati kecilku.

Masa yang terluang, membuatkan daku teringat kembali impian ini. Sejak tamat tempoh mengajar di SMK Tun Syed Zahiruddin pada 7 Julai 2015, daku menjadi suri rumah sepenuh masa. Eh, daku masih lagi mengajar al-Quran setiap Sabtu dan Ahad. Lupa. Banyak sangat yang difikirkan.

Mungkin sudah sampai masanya untuk daku merealisasikan cita murni ini.. Manfaatkan masa yang ada.

Mungkin ini medium untuk daku menyampaikan dakwah, mengajak berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Allah.. Izinkan daku..~

Taman Pitis,
Penghulu Segala Hari
10.30pagi



Thursday, March 26, 2015

Ustazah Hani

Alhamdulillah..

Allah beri kesempatan untuk diri ini berkhidmat di SMK Dang Anum, Merlimau sebagai guru ganti.

19 Januari 2015,

Tiba-tiba dapat panggilan telefon dari PPD (Pejabat Pelajaran Daerah) Jasin, saya diminta untuk lapor diri di SMK Dang Anum sebagai guru ganti Pendidikan Islam.

Oh, tidak.. tiada persediaan ketika itu. Berdebar-debar dibuatnya. Pelbagai persoalan timbul. Akhirnya, mak menenangkan diri ini. Alhamdulillah..!

Lapor diri. Bertemu dengan Tuan Pengetua, Tuan Haji Abu Bakar bin Muhammad. Satu pesanan yang masih berbekas ialah,

'Pastikan betul-betul dianggap guru oleh pelajar,'

Adui, telan air liur, dalam hati, tapi daku tetap jawab,

'insha Allah'

...............................

26 Mac 2015.

Sedar tak sedar, ini hari terakhir daku mengajar di sini. Macam-macam ragam budak sekolah yang daku jumpa. Yang penting, pengalaman mengajar. Itu yang utama. :)

Teringat masa mula-mula tu, ada pelajar tanya,

'Ustazah, ini sekolah yang ke-berapa ustazah jadi guru ganti?'

'Ini yang pertama,'

'Betul ke ustazah, macam tak percaya je,'

Huhu. betul la, daku cuma tergelak je.

.................................

At the end, di hari terakhir, budak perempuan 2 Anggerik ada yang menangis selepas bersalam dengan daku. Oh..sebaknya, tapi daku mesti kuat dan tenang.. [,..berlagak~]

1 Kenanga - yang masih terawang-awang.. [masih sekolah rendah/dah masuk sekolah menengah?]

2 Anggerik - budak kelas Rancangan Khas (RK), atau senang kata budak bijak. Ok la..~

3 Bakawali - kelas yang banyak soalan., adakala daku terpaksa jawab, boleh tak , ustazah kata yang ustazah tak tau.,pastu diorg pun blur.. hihi..

3 Mawar - kelas yang paling kecoh daku mengajar, walaupun cuma 12 orang, bisingnya mengalahkan ada 30 orang! Layankan je..~

.......................................

'ala kulli haal.. Alhamdulillah.. mendidik, berdakwah.. itu yang utama..

Permata Hati Abi Ummi

Duhai anakanda,
Andai dikau tahu Abi dan Ummi sentiasa sabar
menanti kehadiranmu di sisi kami, 
Tangisan dan rengekanmu mahukan susu dan pelukan hangat Ummi,
Abi dan Ummi rindukanmu!

Duhai anakanda,
Abi dan Ummi sedang mempersiapkan diri dengan ilmu dan amal, 
bagi menyambut kelahiranmu ke dunia ini,
Besar cita-cita Abi dan Ummi ingin mendidikmu agar menjadi pejuang agama Allah!
Apatah lagi Ummi ingin kamu menjadi 'ulama,
Adakah anakanda berasa berat dan sukar untuk merealisasikan impian Abi dan Ummi?

Duhai anakanda,
Abi dan Ummi bersaksi dengan nama Allah, 
Kami berjanji akan mendidikmu dengan Islam,
Menjadikan keluarga kita 'Islam'..

Duhai anakanda,
Maafkan Abi dan Ummi kerana kami sangat merindui kehadiranmu
Di sisi kami,
Menjadi permata hati,
Qurratu a'ayun buat kami.. :')

6 Mac 2015/ 14 Jamadil Awwal 1436H
Rabu
9.44 malam

Kugagahi juga diri ini berkongsi rasa hati di dalam blog yang telah lama usang ditinggalkan. Kerna diri ini masih tidak putus mengharap agar Allah mengurniakan cahayamata buat kami.. Allahumma amin..! 




Buat suami yang tersayang, terima kasih tidak terhingga..~ uhibbuk fillah..! 

Friday, September 5, 2014

Musafir-Malaysia

Alhamdulillah.. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Menghitung hari. Hari ini Jumaat, esok Sabtu, tulat Ahad..

8/9/2014 kami akan bertolak pulang ke Malaysia. Hati ini tidak tahu sama ada gembira atau sedih atau bagaimana.

Bumi Mu'tah ini bakal dirindui. Mengajar erti hidup susah senang dalam melayari bahtera rumahtangga. Pahit manis ditelan bersama.

Alhamdulillah!

Ya Allah, selamatkan permusafiran kami ke Malaysia. Berkatilah kami!



Friday, August 15, 2014

Ulangtahun Perkahwinan KaR & h2o

"Ustazah plan nikah bila?"

Gulp. Ustaz ni biar betul. Serius ke main-main?

"Ana plan nikah waktu umur ana 25 tahun"

'memang targetku sejak di Darul Quran lagi, tamatkan zaman bujang umurku 25, usai habis degree.

"Kalau macam tu, tahun ni la kiranya?" pertanyaan Ustaz KA seolah-olah terkejut.

"Ya, tahun ni ana 25 tahun"

Lebih kurang begitulah permulaan kami berbincang dan merancang untuk membina rumahtangga Muslim. Setelah kami diberi kepercayaan untuk berhubung terus oleh Ustaz Izzat Naqib dan Andak Aeshah selaku 'orang tengah'.

Alhamdulillah. Tidak lama selepas itu, kami bertunang adat pada 6 Julai 2013. Kemudian dinikahkan oleh ayahanda tercinta pada 16 Ogos 2013 di Masjid Ar-Rahim Merlimau.

Kini, 16 Ogos 2014, genap setahun ikatan pernikahan kami. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Terima kasih ya Allah atas kurniaan ini. Allahuakbar!




Monday, August 11, 2014

Cerpen: Muliakan Dia

"Ya Sadiq, aku nak hadiah..!" ucap 'Abudah berulang-ulang sambil menghulurkan tangan kecilnya.

"Kau kan baru kahwin, aku nak hadiah dari kau.." jerit 'Abudah lagi. Dia seolah-olah tidak mahu berputus asa. Mahu permintaannya tertunai.

"Aku tak ada hadiah nak bagi kat kau. Lagipun kau yang sepatutnya bagi hadiah pada aku," balas si Suami. Dia cuba bergurau dengan budak kecil itu. Umurnya dalam anggaran 5-6 tahun. Gigi hadapannya rongak. Mungkin kesan banyak makan gula-gula.

Aku cuba perhati dari dalam rumah. Sambil cuba menangkap butir percakapan budak Arab tu.

'Ah, aku masih baru di sini. Kalau tak faham, boleh tanya dengan si Suami.'

"Awak, dekat dapur ada gula-gula tak? Nak bagi pada budak Arab tu. Tak sampai hati pulak bila tengok dia minta-minta macam tu. Budak-budak kan?" pertanyaan si Suami mematikan senyumanku.

"Kenapa senyum sorang-sorang? Awak buat apa tadi?" soal si Suami sambil memandangku pelik.

"Huhu, ada la.. okay sekejap saya tengok dulu kat dapur," kubingkas bangun bergegas ke dapur sambil ketawa kecil.

'Ingatkan tak perasan kita tengah buat apa tadi. Malunya!'

Alhamdulillah. Ada coklat Bon-Bon. Kuambil beberapa biji coklat yang berbalut plastik kuning itu. Coklat yang boleh tahan mahal harganya di sini.

"Nah, tak banyak, tapi yang lebih cukup untuk kita" kuhulurkan coklat tersebut kepada si Suami.

"Okay, beres..!

"'Abudah.. nah hadiah untuk kau..!"

"Terima kasih ya sadiq..!" ucapnya sambil ketawa. Suka barangkali kerana mendapat 'hadiah' dari si Suami.

........................................

"Kita ni kena buat baik, tak kira sama ada kecil atau besar. Rasulullah selalu muliakan kanak-kanak. Kita ni hidup kena sentiasa jadikan Rasulullah sebagai tauladan. Allahuakbar! Mulianya Rasulullah." ujar si Suami. Membuatkanku turut termuhasabah.

Buat baik dan muliakan kanak-kanak. Bukan mudah. Adakala perasaan untuk meremeh dan memperkecilkan golongan ini sentiasa ada. Teringat adik-adik di tanah air. Memang adakala bergurau dengan mereka mengalahkan orang dewasa. Insaf!


Umair yang lincah




Saturday, August 9, 2014

Selamat Tinggal Mu'tah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Tidak sampai sebulan lagi kami akan meninggalkan Dataran Mu'tah. Sudah terasa sayu di hati ini. Walau bumi ini bukan tempat lahirku, tapi ia umpama taman didikan di kala usia di pertengahan 20-an. Allahuakbar!


Di sinilah Mu'tah

Tempat kami berdua

 Bersusah dan bersenang

Mengharungi syita' dan soifi

Merasa ditarbiyyah oleh Allah

Terus


Ujian itu ada pahit, ada manis

Sukar untuk dikisahkan

Apatah lagi untuk dihebahkan


Syukur

Ia mematangkan mahligai yang diimpikan 

Agar kami lebih mengenali hati budi

Merasa tujuan utama rumah ini dibina. 

Lillahi Ta'alaa.

Subhanallahh. Alhamdulillah. Allahuakbar.




Andai redha Allah yang dicari

Pastilah hidayah dan taufiq menyinari

Selamat Tinggal Mu'tah!


h2o-kAr
Bayt Muhammad Kheir
2330 PM



Monday, July 21, 2014

Catatan Ringkas Ramadhan 1435H

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Setelah demam panas 2,3 hari lepas, Alhamdulillah, Allah kembalikan semula nikmat sihat. Cuaca yang tak menentu ini menjadikan kami diserang demam. Mujur kami tidak sakit serentak. Alhamdulillah. Allah sayang kami. :')

Teruji sungguh Ramadhan ini. Ramadhan 1435H, untuk pertama kalinya kami puasa bersama. Puasa suami isteri di perantauan. Malam puasa pertama, mata ini tidak dapat tahan lagi dari menitiskan air mata. Penangan rindu pada Mak, Ayah, dan adik beradik.. juga suasana puasa di tanah air. Alhamdulillah, tangisan rindu diubati apabila sang suami memujuk.

Ramadhan 1435H di Mu'tah pasti jadi kenangan terindah untuk dipahat di dalam memori ini. Tidak terluah segalanya di blog usang ini!

Tarawih kami pada minggu pertama dan kedua adalah di Masjid Bin Baaz. Walaupun jauh dan memakan masa 10-15 minit dengan berjalan kaki, kami tetap gigih dan bersemangat untuk ke sana memandangkan imam masjid berkenaan turut menyampaikan tazkirah ringkas selepas solat tarawih 4 rakaat. Kemudian imam menyambung semula solat tarawih hingga 8 rakaat kemudian solat witir.

Pada waktu inilah wanita-wanita Jordan yang terdiri daripada kalangan wanita yang berumur, remaja, dan kanak-kanak berkumpul. Melalui perhatianku, bilangan jemaah wanita di sini kebanyakannya 'makcik' dan 'nenek' berbanding remaja dan belia. Hm.. ada persamaan sedikit dengan Malaysia..

Suatu sikap yang boleh dipuji terhadap masyarakat Arab di sini ialah budaya tegur menegur mereka sangat tinggi dan terbuka. Jika masih baru dengan situasi ini pasti terkejut dan terkedu. Contoh mudahnya, bila saf tidak rapat, terdapat banyak kekosongan, tidak kira yang muda atau yang tua, [biasanya yang tua] akan segera bersuara [dengan suara yang tinggi dan kuat ; tengking] supaya merapatkan dan memenuhkan ruang kosong yang ada. Itu belum lagi jika ada kanak-kanak yang menangis! Pasti ditegurnya juga supaya sang ibu segera memujuk anaknya. Sungguh berbeza dengan tanah air kita. Orang kita suka cakap-cakap belakang hatta nak tegur perkara baik pun kadang-kadang fikir berkali-kali..~

Ketika entri ini diperbaharui, Ramadhan sudah masuk hari yang ke 23. Serasa sungguh cepat masa berlalu. Sedar tak sedar Ramadhan bakal meninggalkan kita. Bulan didikan agar kita kuat untuk menempuh 11 bulan yang mendatang.

Walaupun Syawal bakal menjelang, suasana untuk bergembira merayakan kemenangan dan kegembiraan tidak terasa dan hambar. Ya, mungkin terlalu awal untuk merasai manisnya raya! Ditambah pula dengan peperangan yang terjadi antara tentera 'Izzuddin al-Qassam dengan Zionis laknatullah, menjadikan mood jihad melebihi segalanya. Allahuakbar!

Lebih kurang seminggu Ramadhan berbaki, kami berpindah ke Masjid Shuhada' yang terletak di tengah-tengah pekan Mu'tah. Merasai dan menikmati solat tarawih di situ, perjalanan yang cuma 5 minit dan dipimpin oleh imam yang tartil dan tenang bacaan ayat al-Qurannya walau tiada tazkirah. 'ala kulli haal, Alhamdulillah, masih diberi pinjam nyawa untuk bernafas di atas muka bumi ini.

Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada-Ku (Allah) 
[Az-Zaariyaat :56]





Sunday, July 13, 2014

Diri dan Malas

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

16 Ramadhan 1435H / 13 Julai 2014

Alhamdulillah. Akhirnya, tertunai juga hajat untuk mencoretkan beberapa patah perkataan untuk entri kali ini.

Musim panas menjadikan badan sedikit lesu dan letih untuk memerah idea. Alasan!

Kalau nak beralasan, banyak lagi perkara yang boleh dijadikan alasan. Melainkan sifat MALAS itu dapat diatasi dan diurus dengan baik, akhirnya hilanglah segala alasan tersebut.


Malas,
Andai dikau mampuku urus dengan baik 
Sudah semestinya segala kerja dan urusanku tidak tergendala.

Diri,
Andai daku mampu menguruskanmu dengan baik
Sudah semestinya sifat malas tidak ada dalam diriku

Diri dan Malas,
Janganlah dikau bersahabat baik
Agar daku mampu menjadi manusia yang baik dan membaikkan.

12.07a.m.
Bayt Muhammad Kheir


Tuesday, June 10, 2014

Rindu Haramain!

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Akhirnya air mata menitis juga. Sore itu, sudah tidak tertahan lagi hati ini menahan rindu akan bumi Makkah. Mata ini seolah-olah terpamer segala suasana ketika daku menunaikan ibadah umrah. Kaabah, tawaf, hijir Isma'il, safa, marwah. Ah, banyak lagi kalau mahu disebut satu persatu! Walaupun tidak cukup sekadar mengenangkan sejarah itu daku tetap menjadikannya memoir terindah dalam hidup.

Ya Allah! Hati meronta-ronta mahu ke sana lagi. Mahu menikmati sejuknya zam-zam di kala teriknya panas. Mahu tawaf sunat berkali-kali di kala umat manusia berpusu-pusu merebut suatu kepuasan apabila berada di hadapan kaabah. Adakah akan berulang lagi episod itu dalam diari hidupku?

Allah musta'aan..! :'(



Sunday, May 11, 2014

Ilhamkan Daku

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Kebanyakan entry dalam blog ini santai dan ringan. Tulisan yang tidak memberatkan pembaca untuk menikmati 'karya' ini [siapa je yang baca?]

Apa pun, blog ini adalah blog peribadi dan tempat untuk mengasah bakat saya dalam bidang penulisan. Tapi sampai bila?

Ya Allah, ilhamkan daku untuk berkarya perkara yang bermanfaat untuk ummah!


Kalam Murabbi Ustaz Zulkifli Ismail

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Segala puji bagi Allah. Kehadiran Ketua Dewan Ulama' PAS Melaka, juga Mudir Pondok Baitul Qurra' Sungai Udang, al-Fadhil Ustaz Zulkifli bin Ismail, ke Dataran Syam, Mu'tah dianggap sebagai rezeki buat kami.

Mutiara kata yang sungguh meruntun hati sang pendengar. Kalam murabbi. Masya Allah! :')

Khamis, 8 Mei 2014. Pertemuan pertama (buat saya) dengan ustaz  adalah bersama anak-anak Melaka di rumah Syazwani-Ikhwan. Sore itu, hujan renyai-renyai membasahi bumi. Mu'tah ditimpa hujan selama 2,3 hari berturut-turut. Saya dan Sarah Yasmin bergegas kerana risau sampai lewat. Alhamdulillah, kami tiba awal.

Tidak ramai yang boleh hadir pada petang itu. Kata ustaz,

"Ustaz memang suka tengok orang Melaka ni, sebab kalau pergi mana-mana mesti orang Melaka tak ramai"

Kata-kata ustaz membuatkan kami semua berderai ketawa. Sebab kami turut mengalami dan memahami maksud ustaz. :)

Pertemuan yang bersifat santai, tetapi penuh dengan kata-kata nasihat yang ikhlas serta amanat oleh seorang ulama' membuatkan nurani terasa penuh dan kenyang. Alhamdulillah!

Antara pesanan ustaz yang terpahat di dalam minda ialah,

'kamu semua perlu belajar bersungguh-sungguh agar dapat memberi sumbangan kepada masyarakat Melaka dengan menyampaikan ilmu. Masyarakat Melaka kini masih kekurangan asatizah untuk membimbing mereka. Kita terpaksa 'import' asatizah luar untuk mengajar ilmu agama di Melaka.'

Pesanan yang seperti 'mengharap' agar tullab di sini lah yang akan mengisi ruang kekosongan itu. Berat tanggungjawab yang digalas. Allahuakbar!

Ya, walaupun saya bukan bergelar tullab di Jordan, tapi saya tetap merasakan ini juga adalah peringatan buat saya sebagai anak jati Melaka. Menyampaikan ilmu bererti menyebarluaskan dakwah Islamiyyah untuk warga Melaka. Moga Allah izinkan saya untuk berkhidmat di sana.

Solat Maghrib dan solat Hajat berjemaah mengakhiri pertemuan kami bersama ustaz. Bacaan doa penuh mengharap kepada Allah sepenuhnya. Segala-galanya dari Allah dan kepada Allah.

Alhamdulillah!



Tuesday, May 6, 2014

Ramadhan Bakal Kunjung Tiba

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Musim panas masih di permulaan. Bahang kepanasan terasa hingga ke malam hari. Allahuakbar! Kuasa Allah yang menjadikan panas. Ini baru di dunia. Di akhirat nanti bagaimana?

Berada di negara 4 musim ini menjadikan saya cakna dengan suhu. Hari ini suhu mencapai 26 darjah selsius. Langit kelihatan mendung bagai hujan mahu turun. Menanti hujan. Ya Allah rezekikan hujan di dataran syuhada' ini!

Ramadhan sudah semakin hampir. Kami bakal berpuasa dalam musim panas yang terik dan dalam tempoh yang lama. Lebih 12 jam. Waktu siang yang panjang dan malam yang singkat. Qawiyy!

Ya. Perlu bersedia mental dan fizikal untuk menjalani tarbiyyah Ramadhan. Kalau diizinkan-Nya, kami dapat merasa puasa Ramadhan bersama untuk kali pertama, jauh dari tanah air dan keluarga tercinta. Allahumma amin!

Ramadhan - Maher Zain

You lift me up high
You spread my wings
And fly me to the sky
I feel so alive
It's like my soul thrives in your light
But how I wish you'd be
Here with me all year arou

Ramadan Ramadan,
Ramadan ya habib
(Ramadan, Ramadan,
Ramadan O beloved)
Ramadan Ramadan
Laytaka dawman qareeb
(Ramadan, Ramadan,
How I wish you were always near)

Love is everywhere
So much peace fills up the air
Ramadan month of the Quran
I feel it inside of me, strengthening my Iman
But how I wish you'd be
Here with me all year around

I just love the way you make me feel
Every time you come around you breathe life into my soul
And I promise that
I'll try throughout the year
To keep your spirit alive
In my heart it never dies

Oh Ramadan!




http://jo.arabiaweather.com/


Tuesday, April 29, 2014

Ucapkanlah Alhamdulillah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Hidup ini dikelilingi dengan pelbagai 'kisah' sebelum sampai kepada yang hakiki [akhirat]. Kitalah [diri sendiri] yang mencari, berfikir dan menilai agar terbentuk sebuah hikmah yang bernilai tinggi iaitu sampai kepada tahap SYUKUR dan tahu berterima kasih. 

Wahai Allah yang Maha Memberi, jadikan kami sentiasa mahu ada rasa syukur dengan-Mu ya Allah!

Alhamdulillah. 

Bayt Muhammad Khir,
Mu'tah Jordan
23:24


Allah Pemberi Sakit, Allah Jua Pemberi Sembuh

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

26 April 2014

Pengalaman mendapatkan rawatan di markaz sihhi (klinik kesihatan kerajaan) Mu'tah suatu momen yang berharga. Bangunan sederhana besar satu tingkat itu tenang. Pesakit tidak ramai. Mungkin kerana kami tiba di sana pada waktu tengahari. 

Hati sedikit berdebar dan gementar bercampur dengan sakit perut. Keputusan untuk ke markaz sihhi dibuat setelah kami menghubungi emak di Melaka, meminta pendapat. Sungguh tidak tertahan sakit perut (cramp). Tidak mampu berdiri tegak, jalan secara berbongkok dan perlahan. Bertambah sakit apabila batuk dan selesema tiba-tiba menyerang. Allahuakbar! 

Antara penyebab kami risau dan takut untuk mendapatkan rawatan di sini ialah, doktor-doktor Arab! Bahasa juga menjadi sebab terpencil. Saya tidak mahir dan fasih berbahasa Arab. Cuma masih boleh memahami apa yang diperkatakan. Suami meyakinkan saya untuk bercakap dalam bahasa Inggeris sahaja dan dia yang akan berbahasa Arab. 

Kehadiran kami di situ kelihatan asing kerana hanya kami sahaja Malizi (orang Malaysia) kerana kebiasaannya rakan-rakan kami  hanya ke markaz sihhi jami'ah. Terasa sungguh 'segan' kerana diperhatikan, ditambah pula ada seorang budak perempuan yang comel, umurnya dalam lingkungan 2 tahun. tidak kelip-kelip mata memandang saya walaupun dia sedang berjalan. Saya pula tidak kelip-kelip mata membalas pandangannya kerana rasa kagum dengan kecomelan yang dimilikinya. Pada ketika itu, kesakitan terasa berkurang. Terapi dari budak perempuan itu agaknya! :)

Akhirnya giliran kami sampai. Pembantu doktor melambai-lambai tangan ke arah kami memanggil masuk. Suami terpaksa memimpin kerana masih terasa sukar untuk berjalan. Bermula sesi dialog antara saya, suami, doktor wanita dan pembantu doktor. Suami berbicara dalam bahasa Arab, saya dalam bahasa Inggeris. Terasa payah juga kerana loghat Inggeris yang digunakan doktor adakalanya membuatkan saya tidak dapat memahami apa yang ingin di sampaikan. 

Setelah diperiksa oleh doktor, saya diminta untuk pergi ke bilik yang lain untuk menguji tekanan darah dan suhu badan, kemudian bertemu semula dengan doktor tadi. Doktor kemudian menulis senarai ubat yang perlu diambil di farmasi. Saya duduk di kerusi sambil melihat kertas tersebut. Pelik!

Nama yang tertulis pada kertas itu bukan nama saya. Boleh jadi tertukar kertas dengan pesakit lain. Suami yang turut menyedari hal ini segera berjumpa dengan doktor. Rupa-rupanya kertas itu milik saya. Doktor wanita tadi telah menukarkan nama dan maklumat di atas kertas itu agar saya menjadi 'warganegara Jordan' supaya harga ubat-ubatan yang diambil lebih murah. Barulah kami faham. Kalau diikutkan kami perlu membayar lebih kurang 5JD berbanding dengan harga warga tempatan, cuma 75 qursh. Jauh bezanya!

Sewaktu suami mahu membayar ubat-ubatan, berlaku suatu situasi yang tidak dijangkakan. Ada seorang mak cik Arab dan anak perempuannya telah membayarkan untuk kami. Alhamdulillah! Allahuakbar! Rezeki. Suami mengucapkan terima kasih kepada mereka. 

Kemudian, ketika kaki mahu melangkah keluar, saya ternampak suatu petikan ayat al-Quran bersaiz besar memenuhi ruang atas pintu keluar tersebut. Ayat yang membuatkan saya 'tersentap' dan berfikir, dan kemudian terus mengucapkan penyerahan kepada Allah. Dia yang memberi sakit dan Dia jugalah yang memberi sembuh.

[Asyu'ara' : 80]