Thursday, January 26, 2012

::Tiada Masa? Tipu...!::

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani

23 Safar 1433 bersamaan dengan 17 Januari 2012.
Kedai Buku Syabab, Bangi.

Mataku melingas mencari-cari buku yang sesuai. Selang beberapa minit mataku terarah ke suatu buku, 'Detik-detik Masa Dalam Kehidupan Muslim-Pengurusan Masa Menurut Islam, karangan Dr.Yusuf Al-Qaradawi. Inilah buku yang kucari-cari. Aku tersenyum puas.

Kata Dr.Yusuf Al-Qaradawi : Isu waktu/masa, bukanlah isu biasa dalam kehidupan seseorang Muslim. Bahkan isu waktu/masa merupakan isu pokok terhadap isu-isu yang lain. Waktu itu adalah hidup. Di dalam setiap saat dari detik-detik peredaran jam dan peralihan dari hari ke hari merupakan sukatan umur manusia dan kehidupan mereka.  

Firman Allah s.w.t. :

Dan diletakkan kitab, lalu kamu akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya dan mereka berkata: "Aduhai celakanya kami! Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan yang besar melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang mereka telah kerjakan  ada tertulis. Dan Tuhan kamu tidak menganiaya sesiapa pun!

(Surah al-Kahfi:49)

Muhasabah. Allahurabbi! Setiap detik dalam kehidupan kita dicatat. Amalan apa yang telah kita kerjakan. Baik atau buruk? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang masa, antaranya dalam surah al-'Asr, al-Lail, al-Fajr, al-Furqan (hanya menyebut beberapa surah). Fikir. Kalau dalam al-Quran, Allah s.w.t banyak kali sebut tentang masa, maka inilah buktinya masa itu sangat penting dalam kehidupan kita selaku khalifah di muka bumi ini. Setuju?

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

Rebutlah (gunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain ; masa hidup kamu sebelum (datang) kematian, masa sihat kamu sebelum (kena) penyakit, masa lapang kamu sebelum (dipenuhi) kesibukan, masa muda kamu sebelum tua, dan masa kaya kamu sebelum (menjadi) miskin. 


Lagi bukti masa itu tersangat penting dalam kehidupan kita. 

لن تزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع خصال, عن عمره فيما أفناه وعن شبابه فيما أبلاه وعن ماله من اين اكتسبه وفيما انفقه وعن علمه ماذا عمل به
Maksudnya: Setiap hamba di hari kiamat tidak akan dapat mengorak langkah ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal tentang 4 perkara: tentang umur, dimanakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu, di masa remajanya, bagaimana dia menghadapi ujian di waktu itu, tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya, tentang ilmu, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu.

Muhasabah. Selaku seorang yang mengaku dirinya adalah seorang mahasiswa, diri kita bagaimana? Sudah tersusunkah pengurusan masanya? Tenaga muda kita sudah dihabiskan ke mana? Jangan berani mengaku kita ini pejuang agamanya jika pengurusan masa kita masih terabur. Tidak teratur. Tidak tersusun. Tarik nafas. Fikir. Allahurabbi! Malunya diri ini bila berada di hadapan-Mu.

Kewajipan Muslim Terhadap Masa

Menjaga masa - tugas utama yang dipikul oleh setiap individu Muslim ialah menjaga masa. Masa perlu diberi perhatian lebih dari harta benda. Setiap saat, kita wajib mengawasinya supaya dapat dimanfaatkan untuk agama, untuk kebaikan dan kebahagiaan ummah. 

Bagaimana pula kehidupan kita sebagai seorang yang bergelar mahasiswa? Sudah tentulah kita wajib menjaga masa kita dengan sebaik-baiknya. Masa untuk belajar, menguruskan persatuan, masa bersama keluarga dan sahabat. 

Antara tips yang boleh membantu kita mengurus masa dengan baik ialah :

1. Tetapkan matlamat (mengikut keperluan-samada jangka pendek/jangka panjang)
2. Wujudkan planner tahunan/bulanan/harian
3. Tentukan keutamaan sesuatu perkara/urusan. 
4. Sediakan diari/buku nota 555 (masa lapang anda boleh manfaatkan dengan mencatat perkara-perkara  
    yang ingin dilaksanakan/belum tertunai)
5. Tetapkan reminder di telefon bimbit atau alatan elektronik yang lain.

Kesan daripada pengurusan masa yang baik ialah mengelakkan kita dari sifat bertangguh-tangguh, cuai dan lalai.

Al-Imam al-Hassan al-Basri ada berpesan : Awas dari tangguh-menangguh! Hari esok belum tentu! Jika esok harimu, jadilah esok seperti hari ini. Jika esok bukan harimu, usah menyesal kerana kecuaianmu di hari ini!

Sebelum akhiri kalam, diri ini berpesan buat diri dan teman-teman.,manfaatkan masa cuti semester ini dengan perkara-perkara yang berfaedah. Perbanyakkan membaca (bahan bacaan yang ringan/berat), hargai masa bersama keluarga tercinta, beri manfaat kepada orang.. 

Hm., saya terlupa sesuatu! 

Antara ciri-ciri peribadi Muslim (muwasafat tarbiyyah) ialah., sangat menjaga masa... (^_^)v




Ayuh bersama-sama menjadi pengurus masa yang baik..Insha Allah..
So., if you are failed to plan.,you are plan to fail..

2 comments:

  1. Terbaik dengan nama dan wajah baru..! Nukilan Untuk Kita...

    ReplyDelete