Monday, March 12, 2012

Bersama Zaid Akhtar

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani





Hati berbunga-bunga. Bagai ada taman di dalamnya. Hari ni rasa gembira sebab dipertemukan dengan penulis Novel Islami, Ustaz Mohd.Yazid bin Abdul Majid atau nama penanya, Zaid Akhtar. Rasa tidak rugi apabila dapat bersua dengan beliau pada slot kedua, di Wacana Penulisan Dakwah 2012 anjuran Jabatan Dakwah dan Kepimpinan FPI, UKM.

Saya mengenali tulisan beliau melalui ruangan novel bersiri di akhbar Utusan Melayu, Salju Sakinah, sewaktu usia saya di bangku menengah. Setiap hari saya akan sentiasa ternanti-nanti episod yang seterusnya. Sungguh! Saya jatuh cinta dengan gaya bahasa dan plot yang dipersembahkan. Sehingga saya menyimpan keratan novel bersiri ini. Ini tahap kecintaan saya terhadap sastera. Sebenarnya banyak lagi karya-karya berbentuk cerpen yang saya gunting dan simpan serta menjadikannya koleksi. Kini, cinta terhadap sastera subur kembali. Apakah tandanya? Merasakan adakah saya bakal menjadi penulis? Jawapannya hanya Allah yang lebih Mengetahui.


Dakwah Berverstail Lewat Mata Pena


Dakwah itu rencam sifatnya. Luas medannya. Namun ia adalah wasilah. Matlamatnya pula adalah Islam. Jelas. Terang lagi bersuluh. Penulisan salah satu cabang medan dakwah. Anugerah bakat kreatif membolehkan berdakwah menerusi pena, tanggungjawab sebagai pendakwah tersebut amatlah besar lantaran ia tidak dimiliki oleh semua orang. Ia suatu ibadah jika berada di landasan yang betul.


"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah."   (Ali-Imran:110)

Kata kuncinya ialah 'amar makruf nahi mungkar'. Menjadikan penulisan sebagai wadah yang perlu diterjemahkan dalam bentuk kata-kata. Melahirkan jiwa-jiwa yang berfikir dan berzikir.

Imam Nawawi, Syed Qutb, dan Prof.Hamka. Antara tokoh-tokoh dalam bidang penulisan. Baru tersedar, rupa-rupanya dunia penulisan sudah lama wujud.

Prof. Hamka sebagai contoh Ulama' Nusantara yang turut berkongsi karya kreatifnya di dalam bidang penulisan. Antaranya, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Di Bawah Lindungan Kaabah. Saya akur dengan kehebatan Prof. Hamka setelah membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Memang bukan calang-calang orang. Aktivis Islam. Sasterawan. Ulama'. Anugerah Ilahi!

Menulislah!

"Anda tidak akan merasai kemengahan berlari kalau anda tidak memaksa diri untuk memulai langkah pertama"

Butir bicara Zaid Akhtar buatku sedikit termangu.

Makna kata, tulislah. Segalanya bermula dari kosong.
 
Antara kriteria-kriteria yang harus dimiliki oleh seorang penulis ialah :

1. Bakat
2. Minat
3. Displin (rajin membaca dan rajin menulis)
4. Kaya dengan pengalaman hidup
5. Berdaya imaginasi
6. Pengetahuan, ilmu dan intelektualiti.
7. Berakhlak, berhemah dan berwibawa
8. Menguasai lebih daripada satu bahasa.
9. Sensitif dengan alam sekeliling
10. Kemahiran, kepakaran kreatif
11. Ketahanan fizikal, mental dan psikologi
12. Menguasai tatabahasa
13. Kesempurnaan pancaindera
14. Kepelbagaian tabiat seperti sense of humor, sensitif, peka dan tabah.
15. Jujur dan amanah
16. Cita-cita - ada impian dan wawasan.

Mungkin kriteria tersebut hanya sedikit atau separuh ada pada diri penulis kreatif.


Butir Bicara

Melalui riak wajahnya apabila melontarkan kata-kata di hadapan foyer FPI, saya berpendapat beliau seorang yang pemalu. Agakan saya tepat apabila bekas pelajarnya di SMKA Segamat mengiyakannya, akan tetapi, sifatnya itu tidak menghalang untuk beliau berucap dengan baik dan lancar. Kagum. Ditambah dengan sifat beliau yang merendah diri.

"Walaupun ustaz dah berkecimpung dalam dunia penulisan hampir lebih sedekad, tapi ustaz hanya ada empat buah novel yang telah diterbitkan, berbanding dengan penulis-penulis yang lain," ucapnya satu-satu. 

Saya sempat bertanyakan dua soalan kepada beliau mengenai siapakah sifunya dan bagaimana karya yang berjaya dihasilkan telah mencapai kualiti yang terbaik.

Jawab beliau, "Othman Puteh. Caranya mudah. Siarkan karya anda di blog atau portal dan minta komen pembaca, selain berani menghantar karya anda ke media seperti majalah dan akhbar. Jika karya anda tidak diterbitkan bermakna perlu lagi penambahbaikan,"

Jawapan pertanyaan saya menjadi penutup untuk slot kedua.

Baru kumengerti. Memang bukan mudah untuk menulis supaya nilai-nilai murni itu terserap ke jiwa sang pembaca.

Saya mengharapkan autograf di diari hijau saya menjadi sumber inspirasi untuk saya terus menapak di arena penulisan.

------------------------------------------

"Awak kenal Zaid Akhtar?" soalku kepada teman sebilik.

 "Tak kenal lah, siapa tu?" soalnya kembali.

"Ala., penulis novel Salju Sakinah," jawabku sedikit teruja. Niat untuk berbual mengenai wacana tadi semakin memuncak.

"Hm., tak kenal la kak.," jawapannya untuk kali kedua itu menghampakan aku.

"Yeke.,hm., takpa lah., kita berbeza minat," ujarku cuba untuk mengendurkan suasana.

Sedihnya. Tiada teman yang boleh berkongsi cerita dan minat. Tapi yang penting, hari ini telah menceriakan saya. ^_^



"Kesedihan akan digantikan dengan kegembiraan apabila telah sampai masanya.."

Adakah masanya hampir tiba?

4 comments:

  1. sangat tersentuh hati, apabila membacanya.. dan tahniah kak berjaya dptkan tandatangan beliau. akak memng berbakat!

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih.. doakan semoga impian tercapai ya.. :)

      Delete
  2. akk...da lama sy nk bce buku salju sakinah tu....tp xterbaca2...:( akk leh kongsi mint ngn saye...huhu

    *msti akk rndu nk cter ngn sy kn? hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. KInah.,ada byk masa lg nk baca buku tu,. ;)

      akak dah jumpa 2 org yg boleh kongsi minat dgn akak.. ^_^

      hm..rindu dgn 'kisah' awak...jom!

      Delete