Sunday, June 3, 2012

Sabar Itu Indah


Alhamdulillah., entri kali ini saya bawakan sebuah cerita motivasi untuk tatapan kita bersama. Semoga beroleh manfaat di sebalik kisah ini.

Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abu Hassan. Dia mengerjakan ibadah haji di Baitul Haram. Ketika bertawaf tiba-tiba dia melihat seorang wanita yang amat berseri wajahnya.

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik wajah wanita itu, tidak lain pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."

Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abu Hassan lalu ia bertanya, "Apakah kau perkatakan,hai saudaraku?Aku terbelenggu oleh perasaan dukacita kerana risau, dan seorang pun yang menyekutunya dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Apakah hal yang merisaukanmu?"

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari, ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan seorang yang masih menyusu, ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku berkata kepada adiknya, "Hai adikku, mahukah aku tunjukkan kepadamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"

Jawab adiknya, "Baiklah."

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelih leher adiknya. Dia merasa takut melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan serigala, ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas itu lalu habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abu Hassan bertanya,"Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang zahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."

Bagaimana sahabat-sahabat? Antara sabar dan keluhan. Sekali kita diuji., sama ada kita akan bersabar atau kita akan mengeluh. Pilih satu sahaja.

Terdapat beberapa dalil dari hadith Rasulullah s.a.w. menyuruh kita bersabar dan memberi kita peringatan supaya tidak berkeluh-kesah apabila ditimpa ujian;

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi, "Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari dunia kemudian ia SABAR melainkan syurga baginya,"

"Tiga perkara daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, MENGELUH dan menghina nasab orang"

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh,jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memakaikannya pakaian daripada wap api neraka."
 (riwayat Ibnu Majah)

Allahuakbar.

فصبر جميل 

Sabar itu indah

Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang sabar dalam menghadapi segala musibah..

ومن يتصبر يصبره الله


4 comments: