Thursday, July 26, 2012

Mar'ah As-Saalihah



"Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah" (H.R.Muslim)

Sudah menjadi fitrah, menjadi dambaan seorang Muslim memiliki pendamping yang setia untuk membangun mahligai kasih bersama, agar kehidupan rumahtangga kelak akan dipenuhi dengan mawaddah wa rahmah, sarat dengan kebahagiaan, adanya saling ta'awun (tolong menolong), saling memahami dan saling mengerti. Ia berharap sang isteri pandai meletakkan diri untuk menjadi naungan ketenangan baginya. Ia berharap dari rumah tangga itu kelak akan lahir anak turunannya yang soleh yang menjadi qurratu a'yun (penyejuk mata) baginya. Namun sudah tentu apa yang menjadi dambaan seorang Muslim ini tidak akan berhasil dengan baik melainkan apabila wanita yang dipilih untuk menemani hidupnya adalah wanita solehah. Kerana hanya wanita solehah yang dapat menjadi teman hidup yang sebenarnya dalam suka mahupun lara, yang akan mendorong suaminya untuk taat kepada Allah.

Rasulullah s.a.w. bersabda kepada 'Umar al-Khattab r.a.: "Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang sebaik-baik perbendaharaan seorang lelaki, iaitu isteri solehah yang apabila dipandang akan menyenangkannya, apabila diperintah akan mentaatinya, dan apabila ia berpergian si isteri ini akan menjaga dirinya." (H.R. Abu Dawud)

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda : "Empat perkara termasuk dari kebahagiaan, iaitu wanita (isteri) yang solehah, tempat tinggal yang luas dan lapang, tetangga yang soleh, dan tunggangan (kenderaan) yang nyaman. Dan empat perkara yang merupakan kesengsaraan iaitu tetangga yang buruk, isteri yang jelik (tidak solehah), kenderaan yang tidak nyaman, dan tempat tinggal yang sempit." (H.R. Ibnu Hibban)

Cukuplah kemuliaan dan keutamaan bagi wanita solehah dengan anjuran Rasulullah s.a.w bagi lelaki yang ingin menikah untuk mengutamakannya dari yang selainnya. Baginda s.a.w. bersabda : "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya, dan kerana agamanya. Maka pilihlah olehmu wanita yang punya agama, engkau akan beruntung." (H.R. al-Bukhari)

6 Sifat Wanita Solehah :

1. Mentauhidkan Allah dengan mempersembahkan ibadah hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun.

2. Tunduk dan patuh kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyaknya melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.

3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah.

4. Selalu kembali kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya sehingga lisannya dipenuhi istighfar dan zikir kepada Allah. Menjauhi diri daripada perkataan dan perbuatan yang lagha.

5. Mentaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suaminya dengan sebaiknya.

6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya, serta menjaga kehormatannya.

Nasihat buat para muslimah, persiapkanlah dirimu untuk menjadi pendamping buat bakal kekasihmu. Rebutlah peluang di bulan yang penuh keberkatan ini, Ramadhan Kareem, untuk perbaiki diri, Insha Allah ada barakahnya. Fi amanillah! ^_^

No comments:

Post a Comment