Sunday, July 8, 2012

SRIPT Madrasah Tarbiyah

Alhamdulillah. Kali ini saya ingin bercerita.




SRIPT. Sekolah Rendah Islam Pintar Tahfiz Fuqaha. Tempat praktikal saya selama 2 bulan, bermula dari 3 Julai 2012. Allah campakkan saya di sini. Saya namakan ianya Madrasah Tarbiyah. Madrasah Tarbiyah untuk insan seperti saya. Alhamdulillah.

Murid-murid di sini tidak ramai. Saya hampir kenal semua murid di sini. Ukhwah. Saya 'tabik spring' dengan tenaga pengajar di sini. Mereka kenal setiap murid, perangainya, latar belakangnya. Sebut sahaja nama mana-mana murid, mereka akan menerangkan sedikit sebanyak tentang murid tersebut. Kagum!

Cikgu Adib, yang duduk di sebelah meja saya seorang yang sangat peramah dan banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Dia seorang yang tegas tetapi masih sarat dengan sifat penyayang dan lemah lembut.  Daripada dialah saya beroleh maklumat tentang kondisi sekolah ini.Ukhwah. Hubungan sesama cikgu SRIPT juga rapat. Cikgu Ada, Cikgu Ja, Cikgu Pura. Gelak tawa dan gurauan mereka buat saya tidak kekok apabila mula-mula memijakkan kaki di sini. Terima kasih!

Madrasah Tarbiyah, seawal jam 7.45 murid-murid telah bersiap sedia menunaikan solat sunat Dhuha. Kemudian beramai-ramai membaca doa waktu Dhuha. Usai solat, mereka akan bersarapan. Sudah menjadi adat makan dalam talam beramai-ramai. Baca doa sebelum dan selepas makan beramai-ramai. Sejak kecil dididik hidup berjemaah. Indahnya!

Kelas Al-Quran (bacaan dan hafalan) bermula pada 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi. Suara mereka bergema mengalunkan kalamullah. Hati terasa sayu. Tiba-tiba saya rindukan suasana di tempat mula-mula saya beroleh tarbiyah, Darul Quran. Sudah hampir 2 tahun saya meninggalkan bumi itu. Suasana yang mendamaikan. Allahuakbar. Air mata hampir menitis mengenangkan waktu itu, saat tidak dapat mengingat hafalan, air mata ini sangat mudah mengalir. Betapa bukan mudah. Istighfar diulang-ulang, kerana takutkan dosa yang dilakukan menjadi hijab susahnya untuk menghafal kalamullah. Hati perlu bersih. Niat dibetulkan. Maha Suci Allah.Ini kisah silam saya di sana.

Jadual waktu di SRIPT amat padat. Tapi yang asyiknya ia di selitkan dengan beberapa perkara sunnah. Setiap jam 12.30, murid-murid dikehendaki berqailullah. Cuma 30 minit, kemudian bersiap-siap untuk makan tengahari secara berjemaah dan solat Zohor juga berjemaah. Didikan sebegini telah diterapkan sejak kecil lagi. Saya cemburu dengan mereka. Alangkah!

Sesi petang bermula pada jam 2.00 petang sehingga 4.30 petang. Subjek akademik diajar pada waktu ini. Selain diminta menjadi pengajar untuk kelas al-Quran saya diminta untuk mengajar subjek bahasa Arab. Inilah masanya untuk saya mengasah 'kepakaran' saya dalam bahasa Arab. Senyum.

Murid-murid di sini walaupun berada di sekolah aliran agama, mereka tetap kanak-kanak. Fitrah kanak-kanak yang inginkan perhatian. Setiap kali saya menumpukan perhatian pada seorang murid, pasti murid-murid yang lain akan mencelah, berusaha menarik perhatian saya terhadap mereka. Memang bukan mudah nak 'meraikan' semua orang. Tapi saya perlu adil. Pesanan Ummi Anili, pengetua SRIPT masih berlegar di dalam pemikiran. Kata Ummi, 'Kita kena beringat, mereka ini anak-anak yang sangat aktif dan agresif. Perlukan perhatian. Anggap la mereka ini semua seperti anak-anak kamu. Inilah medan untuk kamu belajar cara-cara mendidik anak. Memang di kalangan cikgu-cikgu masih bujang,tapi rebutlah peluang ini.' Masha Allah. Saya sudah terasa ada batu yang menghempap saya. Berat.

Madrasah Tarbiyah. Memang betul-betul menguji. Wasilah didikan untuk saya, saya perlu manfaatkannya. Disinilah tempatnya. Moga saya mampu memberi manfaat kepada warga SRIPT sepanjang keberadaan saya di sini. Ya Allah.,bantulah hamba-Mu ini, sungguh hamba-Mu ini insan yang lemah. Berilah kekuatan kepadaku ya Allah.

Inni Akhafullah!





2 comments:

  1. Tersentuh hati baca tulisan ukhti. Alhamdulillah, Allah membuka jalan untuk saya daftarkan putri2 saya di sekolah ini bagi sesi 2013. Semoga mereka dididik dengan cara islam yg sebenar2nya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah.. mengharap doa dr Puan utk saya.. :)

      Delete