Friday, January 31, 2014

Ziarah Mu'tah (1)

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Mazaar, sebuah pekan kecil. Jalannya tidak sesibuk Mu'tah. Terletak lebih tinggi berbanding Mu'tah, seolah-olah berada di puncak gunung. Masih terasa angin yang bertiup kuat dan sejuk walaupun berada di penghujung syita' (musim sejuk)

Pekan kecil ini menempatkan tiga makam sahabat iaitu Abdullah bin Rawahah, Jaafar bin Abi Talib, dan Zaid bin Harithah. Peperangan Mu'tah menjadi asbab para sahabat ini bersemadi di sini. Peperangan pertama antara tentera Islam dengan tentera Rom.

Saya berkesempatan menziarahi makam ketiga-tiga para sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Alhamdulillah, suami sudi menjadi pemandu pelancong secara tidak rasmi. Kefasihannya berbahasa Arab 'ammi serta sifat peramah yang ada pada beliau menjadikan ziarah kami lebih bermakna.

Ziarah pertama bermula di makam Abdullah bin Rawahah r.a. Bangunan yang disangkakan masjid rupanya adalah makam. Kawasannya bersih. Pokok-pokok subur menghijau. Sebelum kaki melangkah masuk ke dalam kawasan makam, saya diingatkan oleh suami untuk membaca al-Fatihah dan perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Udara di dalamnya terasa nyaman. Pelbagai perasaan timbul apabila pertama kali mendekati makam sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Allahuakbar!

Makam Abdullah bin Rawahah

Kami meneruskan ziarah. Tempat yang dituju adalah masjid yang terletak bertentangan dengan kawasan makam Abdullah bin Rawahah. Kami berjalan lebih kurang 500m. Dua makam sahabat Rasulullah s.a.w. ada di dalam kawasan masjid berkenaan.

Usai solat Asar, kami menuju ke makam Jaafar bin Abi Talib r.a. Haruman mewangi di kawasan sekitar makam. Kami melambatkan langkahan apabila melihat beberapa orang Arab solat di hadapan makam. Tidak semena-mena seorang lelaki Arab datang dan memarahi mereka. Saya cuma memahami sedikit daripada butir kata lelaki Arab itu.

"Tidak dibenarkan solat di sini! Solatlah di dalam masjid."

Kemudian mereka beredar ke ruang kosong yang berhampiran dengan makam. Kami turut diberi peringatan oleh lelaki Arab itu agar tidak solat di kawasan makam. Marah sungguh!

Makam Jaafar bin Abi Talib

Makam terakhir iaitu makam Zaid bin Harithah terletak di tingkat atas masjid. Kami segera ke sana memandangkan jam menunjukkan pukul 4 petang. Matahari sudah mula mahu terbenam. Berbaki satu jam sebelum azan Maghrib berkumandang. Kawasan makam masih boleh diziarahi. Penjaga makam masih setia menanti pelawat. Haruman di kawasan makam tetap segar dan terasa nyaman. Malah turut memberi rasa semangat dan bertenaga! Allah..kami terasa dekat dengan syuhada' Mu'tah. Semoga semangat untuk meneruskan jihad fi sabilillah berkembang mekar di dalam jiwa kami. Allahumma amin!

Makam Zaid bin Harithah

Pemandangan kawasan masjid dari tingkat atas

Tempat pejalan kaki menuju ke ruang masjid

Alhamdulillah. Diizinkan Allah untuk menziarahi makam para syuhada'. Terasa kerdil diri ini apabila bermuhasabah. Bagaimana dengan pengakhiran kita nanti?

p/s: Insha Allah, siri jelajah Mu'tah akan diteruskan. Mohon doanya! :)

Maklumat lanjut mengenai Peperangan Mu'tah boleh dilayari di :http://www.manhal.pmram.org/2013/03/peperangan-mutah-sejarah-dan-pengajaran.html

Hidup Cuma Seketika

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. 

Penghujung bulan Januari, sangat kerap saya dan suami mendapat perkhabaran tentang kematian. Mereka yang kami kenali kehilangan mak, ayah, saudara mara dan sahabat. Allahuakbar!

Pemergian ulama', Allahyarham Ustaz Harun Taib dan Allahyarham Syeikh Abdul Karim Zaidan menambahkan rasa insaf di hati kami.

Mati itu pasti. Setiap yang hidup akan merasai mati. Kita.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa mahu dekat dengan Allah. Mahu buat amal soleh banyak-banyak.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa gentar. Mohon keampunan kepada Allah tidak putus-putus.

Apabila difikirkan tentang kematian, pasti jiwa kita akan rasa sesal. Mengenangkan dosa-dosa silam yang pernah kita kerjakan.

Ighfir Zunuubi..! (Ampunkan dosaku!)

Ayuh, perbanyakkan mohon keampunan kepada Allah! Pintu taubat masih terbuka selagi kita masih bernyawa.

Semoga  beroleh pengakhiran yang baik buat kita semua. Allahumma amin..!




Wednesday, January 22, 2014

Membaca Jambatan Ilmu

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Malam ini saya mampu memperbaharui entri blog ini sebanyak 3 kali. Sambil menanti kepulangan suami dari 'study group' untuk imtihan nihaie pagi esok. Semoga beroleh kejayaan!

Bacalah.

Iqra'. 

Berada di rantau orang telah mengembalikan semula mood saya untuk membaca. Alhamdulillah. Hobi saya yang satu ini sentiasa membuatkan saya rasa tak cukup ilmu. Tak cukup amal. Allahuakbar!

Buku-buku bahasa Melayu kepunyaan suami hampir separuh saya habiskan. Tidak banyak seperti buku-buku Arab (kitab-kitab Arab) yang lebih memenuhkan rak buku. Terasa sangat rugi kerana bahasa Arab saya lemah. Saya perlu kumpul kekuatan untuk membuka setiap helaian kitab Arab. Kamus tebal Arab-Melayu telah tersedia. Cuma perlu BERANI. :) Allahuakbar!

Masa senggang yang ada saya cuba penuhi dengan membaca. Alhamdulillah.

Sekadar menyatakan rasa bosan jika hanya ber'facebook'. Scroll atas bawah. Tekan news feed. Lalai. Walaupun ada faedah. Terasa ianya sedikit cuma.

Kalau mahu pandai menulis, mesti rajin dan banyak membaca. Itu prinsipnya. Suasana dan tempat kita berada hanya sebagai 'penyeri' sahaja.

Ya Allah izinkan daku mampu berdakwah dengan mata pena kerna aku tahu kemampuanku hanya di situ. Tidak fasih berbicara apatah lagi menyampaikan ceramah di khalayak.

Semoga aku dapat memberi manfaat kepada ummah.



Penulis

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Masa.

Saya seolah-olah banyak masa apabila berada di tempat orang. Saya jadi risau dengan masa yang ada ini jika tidak digunakan sebaik-baiknya.

Facebook? Twitter?

Bak kata suami, 'benda-benda ni' tak kan habis. Melalaikan. Muhasabah.

Alhamdulillah. Saya dihadiahkan oleh suami buku nota untuk catatan peribadi. Saya jadikannya sebagai diari. Menulis apa yang ingin ditulis. Azam. Impian.

Teringat tentang cita-cita saya suatu masa dahulu ialah menjadi seorang penulis. Alhamdulillah. ketika di UKM saya telah berkesempatan menyertai dua bengkel penulisan yang telah dikendalikan oleh Ustaz Zaid Akhtar dan Ustaz Hasrizal Jamil. Kedua-duanya antara penulis yang saya kagumi. Walaupun ianya cuma sehari tapi sungguh bermanfaat.

Seorang lagi penulis yang saya kagumi ketika di bangku sekolah menengah ialah Faisal Tehrani. Masih teringat karya-karya beliau yang kritis dan kreatif itu. 'Tunggu Teduh Dulu' antara buku yang ada dalam simpanan saya. Banyak kali bertemu dengan beliau di UKM tapi tidak pernah menyapa meminta tanda tangan tanda sokongan moral untuk saya mencapai impian menjadi penulis.

Kata Ustaz Zaid Akhtar : "Menulis untuk sampaikan dakwah"

Kata Ustaz Hasrizal : "Tulis sahaja apa yang anda fikirkan."

Just do it!

Akhirnya saya telah berjaya mengisi masa lapang yang saya ada di rantau orang dengan MENULIS! Alhamdulillah. :)

Semoga Allah kurniakan ilham untuk saya terus menulis. Terima kasih atas tunjuk ajar oleh dua orang sifu saya secara tidak langsung. Ustaz Zaid Akhtar dan Ustaz Hasrizal. Barakallahulakuma.

Insha Allah, blog adalah pilihan saya untuk mengasah bakat sebagai seorang penulis. :)

Ya Allah, izinkan daku membuat kerja-kerja dakwah untuk Islam. Allahumma amin..!



Syukur

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sudah hampir 2 bulan saya berada di bumi Urdun. Menemani suami sehingga tamat pengajian di Universiti Mu'tah. Insha Allah, bakal tamat pengajian musim panas ini.

Alhamdulillah. Tidak pernah menjangkakan akan berada di luar negeri. Semuanya adalah aturan Allah. Allahuakbar!

Musim sejuk bakal tiba di penghujungnya. Tidak pernah mengimpikan untuk merasa musim sejuk di tempat orang. Semuanya adalah aturan Allah. Allahuakbar!

Tinggal di sutuh yang comel dan kemas. Terasa aman dan tenang. Alhamdulillah.

Alhamdulillah. Segala nikmat kurniaan Allah.