Friday, January 31, 2014

Ziarah Mu'tah (1)

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Mazaar, sebuah pekan kecil. Jalannya tidak sesibuk Mu'tah. Terletak lebih tinggi berbanding Mu'tah, seolah-olah berada di puncak gunung. Masih terasa angin yang bertiup kuat dan sejuk walaupun berada di penghujung syita' (musim sejuk)

Pekan kecil ini menempatkan tiga makam sahabat iaitu Abdullah bin Rawahah, Jaafar bin Abi Talib, dan Zaid bin Harithah. Peperangan Mu'tah menjadi asbab para sahabat ini bersemadi di sini. Peperangan pertama antara tentera Islam dengan tentera Rom.

Saya berkesempatan menziarahi makam ketiga-tiga para sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Alhamdulillah, suami sudi menjadi pemandu pelancong secara tidak rasmi. Kefasihannya berbahasa Arab 'ammi serta sifat peramah yang ada pada beliau menjadikan ziarah kami lebih bermakna.

Ziarah pertama bermula di makam Abdullah bin Rawahah r.a. Bangunan yang disangkakan masjid rupanya adalah makam. Kawasannya bersih. Pokok-pokok subur menghijau. Sebelum kaki melangkah masuk ke dalam kawasan makam, saya diingatkan oleh suami untuk membaca al-Fatihah dan perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w. Udara di dalamnya terasa nyaman. Pelbagai perasaan timbul apabila pertama kali mendekati makam sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Allahuakbar!

Makam Abdullah bin Rawahah

Kami meneruskan ziarah. Tempat yang dituju adalah masjid yang terletak bertentangan dengan kawasan makam Abdullah bin Rawahah. Kami berjalan lebih kurang 500m. Dua makam sahabat Rasulullah s.a.w. ada di dalam kawasan masjid berkenaan.

Usai solat Asar, kami menuju ke makam Jaafar bin Abi Talib r.a. Haruman mewangi di kawasan sekitar makam. Kami melambatkan langkahan apabila melihat beberapa orang Arab solat di hadapan makam. Tidak semena-mena seorang lelaki Arab datang dan memarahi mereka. Saya cuma memahami sedikit daripada butir kata lelaki Arab itu.

"Tidak dibenarkan solat di sini! Solatlah di dalam masjid."

Kemudian mereka beredar ke ruang kosong yang berhampiran dengan makam. Kami turut diberi peringatan oleh lelaki Arab itu agar tidak solat di kawasan makam. Marah sungguh!

Makam Jaafar bin Abi Talib

Makam terakhir iaitu makam Zaid bin Harithah terletak di tingkat atas masjid. Kami segera ke sana memandangkan jam menunjukkan pukul 4 petang. Matahari sudah mula mahu terbenam. Berbaki satu jam sebelum azan Maghrib berkumandang. Kawasan makam masih boleh diziarahi. Penjaga makam masih setia menanti pelawat. Haruman di kawasan makam tetap segar dan terasa nyaman. Malah turut memberi rasa semangat dan bertenaga! Allah..kami terasa dekat dengan syuhada' Mu'tah. Semoga semangat untuk meneruskan jihad fi sabilillah berkembang mekar di dalam jiwa kami. Allahumma amin!

Makam Zaid bin Harithah

Pemandangan kawasan masjid dari tingkat atas

Tempat pejalan kaki menuju ke ruang masjid

Alhamdulillah. Diizinkan Allah untuk menziarahi makam para syuhada'. Terasa kerdil diri ini apabila bermuhasabah. Bagaimana dengan pengakhiran kita nanti?

p/s: Insha Allah, siri jelajah Mu'tah akan diteruskan. Mohon doanya! :)

Maklumat lanjut mengenai Peperangan Mu'tah boleh dilayari di :http://www.manhal.pmram.org/2013/03/peperangan-mutah-sejarah-dan-pengajaran.html

No comments:

Post a Comment